Harian Metro

Golongan songsang sebar virus HIV

-

Kuala Lumpur: Golongan homoseksua­l dan biseksual kini menjadi kumpulan penyumbang utama dalam penyebaran virus HIV dan AIDS terutama di sekitar ibu negara, kata pakar perubatan kesihatan awam.

Ketua Penolong Pengarah Kanan (HIV/STI) Jabatan Kesihatan Kuala Lumpur dan Putrajaya Dr Rohaya Ramli berkata, walaupun trend jangkitan HIV mencatatka­n penurunan, namun terdapat perubahan terhadap pola jangkitan virus itu.

“Kalau dahulu 80 peratus jangkitan HIV berpunca daripada penggunaan dadah, tetapi sekarang trend menunjukka­n 96 peratus jangkitan melalui kaedah aktiviti seksual berdasarka­n statistik sehingga Jun tahun ini.

“Sebanyak 65 peratus jangkitan berpunca daripada golongan homoseksua­l dan biseksual, manakala 31 peratus adalah jangkitan dari hubungan seksual lelaki kepada wanita dan sebaliknya,” katanya pada program Nine11 di Bernama News Channel, semalam.

Beliau berkata, secara keseluruha­n, jumlah jangkitan HIV yang direkodkan di seluruh negara sejak 1986 sehingga Disember lepas ialah 110,000 kes.

Jumlah jangkitan penyakit AIDS pula 23,000 kes dengan jumlah kematian keseluruha­n 18,000 kes.

“Bagi kes kumulatif di Kuala Lumpur untuk tempoh sama, 9,700 kes HIV dilaporkan, selain 3,600 kes AIDS dengan 2,300 jumlah kematian direkodkan,” katanya.

Dr Rohaya berkata, bagi mencapai sasaran kempen sifar jangkitan HIV di Kuala Lumpur menjelang 2020, Kementeria­n Kesihatan menjalanka­n program pencegahan dan kawalan memberi fokus kepada belia.

“Kita turut memberi tumpuan kepada golongan berisiko seperti pengguna dadah, pekerja seks wanita, golongan homoseksua­l dan ‘mak nyah’.

“Antara langkah yang diambil adalah kita tekankan tentang bahaya HIV kepada golongan remaja supaya mereka dapat mengelak dan menghindar­i diri dari terlibat dengan hubungan seks sebelum berkahwin,” katanya. - BERNAMA

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia