Harian Metro

Hajat tersirat mahu pulang diiringi peserta konvoi

-

Kuala Terengganu: “Saya mengetuai kumpulan konvoi terbabit bersama empat pegawai berada di depan dan bertindak sebagai pembuka laluan,” kata Inspektor Farid Samit.

Pegawai Jabatan Siasatan dan Penguatkua­saan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu itu berkata, dia dan empat lagi pegawai berada 200 meter dari anggota lain yang konvoi itu bagi membolehka­n mereka meneruskan perjalanan dengan lancar.

“Ketika itu saya lihat semua kenderaan dari arah bertentang­an memberi laluan dan ke tepi jalan serta memperlaha­nkan kenderaan masing-masing.

“Saya tidak sangka ada lori masuk ke laluan konvoi selepas saya melepasiny­a,” katanya mengenai kejadian kemalangan membabitka­n dua anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkus­aan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun maut di Kilometer 139, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat Teluk Kalong, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 2.55 petang itu, Sarjan Mejar Abdul Hakim Samingan, 54, dan Koperal I Suresh, 36, maut selepas motosikal Honda CBX750 ditunggang dirempuh lori.

Dua anggota trafik itu bersama tujuh pegawai dan 18 anggota lain berkonvoi menjalani latihan dalam perkhidmat­an menunggang jarak jauh motosikal berkuasa besar dari Mersing, Johor.

Setibanya di tempat kejadian, sebuah lori dipercayai memasuki laluan terbabit lalu merempuh dua motosikal Honda CBX750 ditunggang kedua-dua mangsa.

Rempuhan berkenaan menyebabka­n kedua-dua anggota terbabit tercampak dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Farid berkata, dia yang berada di depan konvoi berpatah balik selepas dimaklumka­n mengenai kejadian.

“Saya bersama rakan lain cuba membantu mangsa dan sempat mengajar Abdul Hakim mengucap dua kalimah syahadah. Ketika itu dia hanya mengangguk-angguk kepalanya sebelum menghembus­kan nafas terakhir.

“Saya mengenali mereka berdua sejak empat tahun lalu ketika bertugas di IPD Dungun sebelum bertukar ke IPK Terengganu.

“Ketika kami di Mersing, kedua-dua mereka sangat mesra dan tidak berpisah dan sentiasa berpelukan mengambil gambar berdua termasuk ketika membeli-belah di Air Hitam, Johor,” katanya.

Menurutnya, ketika mereka berhenti makan di Sungai Ular, Kuantan juga mereka sempat berswafoto sebelum meneruskan perjalanan. “Sebelum itu arwah Abdul Hakim juga sempat meminta semua peserta konvoi menghantar­nya sehingga ke IPD Dungun.

“Saya ingat arwah mungkin berniat mahu belanja kami minum dan selepas nahas itu baru terlintas maksudnya mahu kami menghantar jenazahnya ke IPD Dungun.

“Saya sedih dengan tragedi itu, mereka sangat baik dan sentiasa komited dalam tugas,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia