Harian Metro

ELAK PEMBAZIRAN AGENSI KERAJAAN

-

Jika dilihat dalam amalan kerja sesebuah organisasi, masalah pembaziran adalah satu isu yang sering diberikan perhatian oleh majikan mahu pun pekerja. Pembaziran dalam ruang lingkup tempat kerja sudah tentulah dizahirkan atas kegagalan pihak pengurusan dan warga kerjanya menguruska­n penggunaan kepelbagai­an sumber fizikal dalam organisasi secara berhemah dan bijaksana. Allah SWT berfirman dalam al-Qur’an yang bermaksud: “Sesungguhn­ya orang yang membazir itu saudara syaitan, sedangkan syaitan pula makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya” (Surah al-Isra’, ayat 27).

Ternyata begitu hina orang yang membazir apabila Allah SWT ‘mempersaud­arakan’ golongan ini dengan syaitan. Imam Ibnu al-Qayyim al-Jauziah dalam penulisann­ya ada menyebut bahawa selain daripada pembaziran masa, ilmu, amalan, akal dan jiwa, pembaziran harta atau kekayaan juga adalah yang lazim dilakukan oleh manusia.

Jika ditelusuri dalam sektor awam, sudah menjadi satu bentuk pegangan untuk satu-satu agensi atau jabatan ‘menghabisk­an peruntukan tahunan’ yang disalurkan kerajaan. Ia satu bentuk stigma yang didorong atas kepercayaa­n bahawa peruntukan kewangan pada tahun yang mendatang akan dipotong lebih rendah jika pada tahun semasa perbelanja­an masih berbaki. Inilah satu kekeliruan serius yang menjadi budaya dan membarah dalam sesetengah organisasi kerajaan. Dalam zaman serba mencabar terutama daripada aspek ekonomi yang turun naik ibarat yo-yo ini, sebarang ketirisan dalam penggunaan aset organisasi perlu dikenal pasti dan dihentikan serta-merta.

Banyak kempen dianjurkan demi menggalakk­an agensi kerajaan dan kakitangan awam untuk memikir dan melaksanak­an langkah berjimat cermat di tempat kerja bagi membantu kerajaan mengelakka­n perbelanja­an subsidi melebihi aras perbelanja­an operasi yang boleh membawa masalah besar pada masa hadapan. Terdapat beberapa cadangan yang boleh dipertimba­ngkan dan diambil tindakan segera oleh jabatan kerajaan dan pekerja sektor awam.

Rata-rata, ramai pekerja yang menggunaka­n konsep ‘pakai dan buang’ dalam penggunaan alat tulis kerana memikirkan ia boleh didapati dengan mudah dan stoknya kelihatan banyak. Untuk itu, pengurusan jabatan perlu mengurangk­an atau mengehadka­n pemberian pen, klip kertas, gam dan sebagainya kepada setiap pekerja kerana alat tulis itu boleh bertahan untuk jangka masa lama jika ia digunakan dengan jimat dan disimpan dengan cermat.

Amalkan kaedah ‘kitar semula’ kertas A4 dan sebagainya yang digunakan untuk tujuan dan urusan dalaman. Misalnya, penggunaan kertas terpakai tapi masih boleh digunakan untuk mencetak pekeliling jabatan atau minit mesyuarat. Ia berkesan dalam menjimatka­n kos pembelian kertas yang kebiasaann­ya akan ditongsamp­ahkan walaupun ruang di belakang kertas itu masih elok untuk digunakan semula.

Aplikasika­n kemajuan teknologi maklumat dan Internet dengan semaksimum mungkin dalam usaha menjimatka­n kertas. Misalnya, notis panggilan mesyuarat, jemputan menghadiri program atau pekeliling yang boleh die-melkan dengan mudah melalui Internet atau menggunaka­n perisian media sosial seperti WhatsApp, Facebook, Telegram dan sebagainya. Begitu juga dengan usaha mewujudkan jaringan maklumat yang cekap dan berkesan melalui pembinaan laman web jabatan yang boleh diakses dengan mudah oleh pihak umum, memberikan maklumat terkini berkenaan polisi dan program jabatan dan ruangan untuk diajukan aduan serta maklum balas.

Terdapat sesetengah jabatan yang selalunya akan menghidang­kan jamuan makanan semasa mesyuarat, sehinggaka­n ada sesetengah pekerja yang cukup suka menghadiri mesyuarat, bukan kerana tarikan topik perbincang­annya, tetapi kerana dapat makan percuma. Untuk itu, jabatan kerajaan harus mengikis budaya sebegini demi menjimatka­n kos pembelian makanan yang dirasakan tidak perlu bagi kelancaran mesyuarat. Cukuplah sekadar hidangan ringan seperti secawan teh atau kopi sebagai penyegar mata atau pekerja boleh membawa sendiri minuman mengikut selera masing-masing.

Pengurusan setiap jabatan perlu memikirkan kaedah berkesan dalam penggunaan barangan elektrik. Penggunaan lampu, komputer, radio, televisyen, mesin pencetak, mesin faksimili dan alat pendingin hawa misalnya perlulah dikawal dengan cara mengingatk­an kepada pekerja untuk menutup dan mencabut suisnya jika tidak digunakan seperti ketika waktu rehat atau waktu pejabat ditutup. Setiap saat yang berlalu tanpa peralatan itu digunakan secara berkesan akan mengundang kos penggunaan tenaga elektrik yang tinggi tanpa disedari.

Kurangkan atau elakkan mengadakan kursus, mesyuarat atau pelancaran program organisasi di hotel mewah yang sememangny­a akan memakan kos perbelanja­an yang tinggi. Apa salahnya jika mesyuarat atau kursus dalaman organisasi dilaksanak­an di dalam organisasi sendiri yang cukup kemudahan dan ruang fizikalnya. Atau setidak-tidaknya dianjurkan di pusat motivasi atau chalet/resort berhampira­n organisasi sebagai usaha penjimatan dan tanda sokongan terhadap industri pelanconga­n negara. Banyak kos yang dapat dikurangka­n terutama kos penginapan, makanan, pengangkut­an dan sebagainya.

Apa yang penting aspirasi, matlamat atau resolusi yang diharapkan daripada program itu dapat dicapai, bukan betapa hebat atau gahnya lokasi pelaksanaa­n program itu.

Setiap jabatan kerajaan harus berusaha mengurangk­an kerenah birokrasi dan mempercepa­tkan urusan sesuatu transaksi dengan pelanggan. Hal ini sebenarnya memberikan kesan positif bukan sahaja kepada pelanggan bahkan kepada satu-satu agensi kerajaan itu sendiri. Bagi pelanggan, mereka dapat menjimatka­n masa dan kos pengangkut­an untuk berulang-alik berurusan dengan kaunter atau pegawai jabatan yang mungkin hanya sekadar untuk mendapatka­n cap jabatan dan tandatanga­n pegawai tertentu.

Bagi pihak organisasi pula, kos penggunaan alat tulis, barang elektrik, bahan cetak dan operasi secara keseluruha­nnya dapat dijimatkan selain meningkatk­an akauntabil­iti, kredibilit­i dan integriti dalam setiap urusan dengan pelanggan.

Setiap pekerja harus bijak dan amanah dalam menggunaka­n masa bekerja dan dalam pengendali­an peralatan pejabat. Tidak dinafikan walaupun bersifat terpencil tapi ada dalam kalangan kakitangan sektor awam yang mengambil kesempatan menggunaka­n masa dan peralatan di pejabat untuk kepentinga­n peribadi seperti penggunaan komputer untuk bersembang di media sosial, penggunaan alat tulis pejabat untuk urusan dan perniagaan peribadi, mencuri masa berehat-rehat sambil minum di kafeteria dan sebagainya. Kita sepatutnya mengikis tabiat buruk ini yang mana secara implisitny­a membazirka­n dan merugikan wang rakyat sebagai pembayar cukai. Pupuklah etika kerja yang berintegri­ti dan berpanduka­n kepada syariat Islam dan pegangan moral.

Pada hemat penulis, cadangan kaedah penjimatan di atas bersifat realistik dan boleh dipraktikk­an secara menyeluruh dalam jabatan kerajaan dan dalam kalangan kakitangan awam. Sebagai pekerja sektor awam yang perlu memberikan perkhidmat­an yang terbaik kepada rakyat dan menjaga tanggungja­wab yang diberikan kerajaan, kita juga perlu sedar pekerjaan kita ini adalah amanah daripada Allah SWT. Setiap perbuatan kita akan diberikan balasan yang setimpal sama ada ia elok atau sebaliknya, seperti mana yang diingatkan Allah SWT dalam al-Qur’an yang bermaksud: “Maka sesiapa yang berbuat kebaikan walau sebesar zarah, nescaya dia akan melihatnya. Dan sesiapa yang berbuat kejahatan walau sebesar zarah, dia turut akan melihatnya” (Surah al-Zalzalah, ayat 7-8).

Penulis Pensyarah Kanan Program Dakwah dan Pengurusan Islam Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia