PROJEK HARMONI

Harian Metro - - Tengah - Sofyan Rizal Ishak sofyan.rizal@hmetro.com.my

 UEM Sunrise lancar Residensi Solaris Parq

UEM Sunrise Berhad (UEM Sunrise), pemaju hartanah terkemuka tempatan melancarkan projek terbarunya, Residensi Solaris Parq dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) RM755 juta dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2022.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata, projek itu adalah fasa pertama bagi projek pembangunan bercampur terkini syarikat iaitu Solaris Parq yang memiliki GDV sebanyak RM3 bilion.

“Projek apartmen servis ini direka untuk menunjukkan gabungan harmoni antara kemewahan dan semula jadi, sekali gus meningkatkan tarikan Mont Kiara dan Dutamas sebagai destinasi kediaman yang menawarkan pelbagai pekerjaan dan gaya hidup,” katanya pada pelancaran Residensi Solaris Parq, di sini, baru-baru ini.

Residensi Solaris Parq memiliki keluasan 1.45 hektar membabitkan pembinaan dua menara yang menawarkan 288 unit bagi setiap menara dengan keluasan binaan bermula daripada 721 hingga 2,469 kaki persegi dan ditawarkan pada harga jualan bermula RM873,800 hingga RM2.97 juta.

Ia adalah fasa pertama bagi pembangunan bercampur Solaris Parq dan terletak di sebelah Galeri Beli-Belah Publika dengan fasa kedua pula akan membabitkan pembinaan unit runcit, suites dan komponen pejabat.

Beliau berkata, Residensi Solaris Parq menawarkan 30 kemudahan gaya hidup dan kemudahan canggih kepada penghuni dan turut memiliki taman urban seluas 0.81 hektar yang terdiri daripada empat zon landskap bertema.

Menurutnya, zon itu terdiri daripada Grassland untuk penganjuran acara taman dan pesta hujung minggu, Play Yard (ruang peralatan pemainan kanak-kanak), Flower Sea (ruang menikmati inspirasi dan refleksi damai) dan Forest Atrium (ruang tenang untuk menikmati keindahan alam semula jadi).

“Kami yakin Residensi Solaris Parq akan mendapat sambutan positif daripada pembeli dan ia dijangka mampu mencatatkan 50 peratus tempahan menjelang hujung tahun ini kerana menawarkan kemudahan terbaik dan berada di lokasi strategik serta berdekatan dengan lebuh raya utama seperti Lebuhraya Sprint dan Penchala Link,” katanya.

ANWAR (kiri) bersama Ketua Pegawai Operasi Pembangunan, Datuk Roslan Ibrahim (dua dari

kiri), Ketua Pegawai Kewangan, Mohamed Rastam Shahrom (kanan) dan Ketua Pegawai

Pemasaran, Pam Loh pada pelancaran Residensi Solaris Parq di Kuala Lumpur.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.