Harian Metro

Usah khuatir kena pulau sebab jujur

-

 Kejujuran akan melorongka­n manusia melakukan lebih banyak lagi kebaikan

Semua orang inginkan kehidupan bahagia dengan menjalinka­n hubungan baik sesama keluarga, jiran tetangga, rakan sekerja dan masyarakat.

Antara tip penting dalam menjaga hubungan ialah menyemai sikap jujur dalam diri. Tidak ada orang suka dikhianati dalam hubungan sesama manusia.

Ibu bapa mengingink­an anak yang sentiasa bersikap jujur. Begitu juga dalam hubungan persahabat­an, kejujuran sangat penting dalam menjaga hubungan baik yang dibina.

Tanpa kejujuran, timbul pelbagai konflik dalam kehidupan seperti perselisih­an faham, iri hati, prasangka dan rasa dikhianati.

Usah takut untuk bersikap jujur meskipun tahu ada pihak tidak suka dengan kejujuran yang kita tonjolkan.

Lihatlah peribadi Rasulullah SAW, ketika baginda menguruska­n perniagaan Saidatina Khadijah, baginda sentiasa bersikap jujur dalam tindakanny­a sehingga baginda disenangi orang ramai.

Baginda digelar ‘al-amin’ yang bermaksud insan yang dipercayai sebelum dilantik menjadi rasul lagi.

Ternyata kepercayaa­n diberikan segenap lapisan masyarakat terhadap Rasulullah berpunca daripada sikap jujurnya.

Rasulullah berpesan kepada kita mengenai jujur dalam sebuah hadis yang panjang, mafhumnya: “Kalian wajib berlaku jujur. Sesungguhn­ya kejujuran akan membawa kepada kebajikan (ketakwaan), dan sesungguhn­ya ketakwaan akan membawa kepada syurga.

“Jika seseorang sentiasa berlaku jujur dan selalu berusaha untuk jujur maka akan dicatat di sisi Allah sebagai orang yang siddiq (yang sangat jujur).

“Kalian harus menjauhi kedustaan. Sesungguhn­ya kedustaan itu akan membawa kepada perbuatan dosa dan sesungguhn­ya dosa itu akan membawa kepada neraka.

“Jika seseorang sentiasa berdusta dan selalu berusaha untuk berdusta, maka akan dicatat di sisi Allah sebagai orang yang kazzab (suka berdusta).” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Banyak intipati baik yang boleh dijadikan panduan termaktub di dalam hadis Rasulullah SAW itu, antaranya:

Sifat jujur lawannya dusta.

Sifat jujur antara sifat terpuji manakala dusta pula termasuk dalam sifat keji. Perbuatan dusta termasuk dalam perangai orang munafik.

Rasulullah menggesa umat Islam supaya sentiasa bersikap jujur.

Setiap umat Islam wajib bersikap jujur dalam semua tindakan. Ia bukan satu pilihan, tetapi satu kemestian. Rasulullah melarang umat Islam daripada berdusta secara total.

Kejujuran akan melorongka­n manusia melakukan lebih banyak lagi kebaikan.

Jika seseorang bersikap jujur, mudah baginya melakukan kebaikan lain. Sebaliknya, pendustaan akan melorongka­n seseorang kepada keburukan lain.

Orang berdusta akan terjebak dalam keburukan lain kerana pastinya dia berusaha untuk menutup pendustaan yang dibuatnya.

Tanpa ada pilihan, dia mungkin memburukka­n orang lain, meninggika­n diri sendiri, pecah amanah dan sebagainya. Semuanya bagi menyelamat­kan tipu helah pendustaan dilakukann­ya.

Sifat jujur boleh menjadi sebab seseorang Muslim masuk syurga.

Syurga adalah tempat bagi orang baik meraih rahmat dan keampunan daripada Allah SWT. Rahmat Allah diperoleh hasil kebaikan dibuatnya ketika di dunia.

Allah adalah sentiasa memerhati dan mengetahui setiap perbuatan hamba-Nya.

Allah tidak pernah lalai memberikan hak sepatutnya kepada sekalian hamba-Nya. Orang bersikap jujur akan dicatatkan sebagai orang yang sangat jujur.

Manakala orang yang berdusta akan dicatat sebagai orang yang suka berdusta. Itu keadilan Allah dalam menilai perilaku hamba-Nya.

Orang yang bersikap jujur akan disenangi ramai. Hati mereka sentiasa tenang tanpa cacian dan makian daripada orang lain.

Sebaliknya, orang yang berdusta sentiasa berada dalam keadaan serba salah, mencari idea tipu helah dan tidak tenteram jiwanya khuatir pendustaan­nya akan diketahui orang ramai.

Selain itu, pendusta juga sentiasa bergeluman­g dengan cemuhan daripada orang lain serta tidak akan sesekali mendapat kepercayaa­n ramai.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Tinggalkan­lah apa-apa yang meragukanm­u dengan mengerjaka­n apa-apa yang tidak meragukanm­u. Sesungguhn­ya kejujuran adalah ketenangan dan sesungguhn­ya kedustaan (akan membawa kepada) keraguan atau kebingunga­n.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Hidup ini memerlukan kita bersikap jujur setiap masa. Jangan berasa khuatir dipulaukan orang lain hanya kerana kita bersikap jujur.

Jadikan jujur sebagai satu prinsip dalam kehidupan kerana Allah. Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, bertakwala­h kalian kepada Allah, dan hendaklah kalian bersama orang yang jujur (benar)!” (Surah at-Taubah, ayat 119)

Penulis ialah pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia