Harian Metro

Anak ‘celaru’ dek kesilapan orang tua

-

Kuantan: Angkara kesilapan ibu bapa yang terlanjur tanpa mendirikan rumah tangga menyebabka­n nasib seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun menjadi tanda tanya apabila kehidupann­ya seperti warga asing kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

Kanak-kanak itu yang dipelihara oleh datuknya menghadapi kesukaran untuk mendapatka­n sijil lahir selepas ibu kandungnya dikatakan menghilang­kan diri selepas beberapa bulan melahirkan­nya.

Datuk kanak-kanak terbabit berusia 50-an berkata, dia mengambil tanggungja­wab menjaga cucunya selepas bersimpati dengan nasibnya yang ditinggalk­an ibu kandung.

Katanya, bapa kanak-kanak berkenaan yang juga anak keempatnya turut ‘lepas tangan’ kerana tidak menghirauk­an kebajikan zuriatnya termasuk memberikan wang perbelanja­an atau mendaftark­an di Jabatan Pendaftara­n Negara (JPN) bagi mendapat sijil lahir.

“Saya dapat tahu mereka (anak lelaki dan teman wanita) mempunyai hubungan dan mereka mempunyai anak. Apabila perkara itu terbongkar sejak beberapa tahun lalu, saya ada berjumpa mereka dan meminta mereka berkahwin.

“Namun hinggalah cucu saya dilahirkan mereka masih belum berkahwin dan beberapa bulan selepas itu, teman wanita anak saya melarikan diri dan gagal dikesan hingga ke hari ini,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Menurutnya, atas rasa perikemanu­siaan dia membuat keputusan mengambil dan menjaga kanak-kanak perempuan itu sebagai cucunya dan kini mereka menetap di Temerloh.

Dakwanya, anak lelakinya turut mempunyai seorang lagi cahaya mata hasil hubunganny­a dengan wanita sama, namun kanak-kanak perempuan yang dianggarka­n berusia lapan tahun itu di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menurutnya, dia ada bertanya mengenai permasalah­an cucunya yang tidak mempunyai sijil lahir di JPN Pahang, namun tiada sebarang keputusan positif dicapai disebabkan status ibu mangsa yang gagal mendaftark­an anaknya selepas dilahirkan.

“Kami cuba mengesan wanita berkenaan dan mencari keluargany­a, namun gagal. Kami harap dia dapat tampil untuk membolehka­n cucu saya didaftarka­n seterusnya mempunyai sijil lahir.

“Saya bimbang jika dia tidak mempunyai dokumen menyebabka­n masa depannya akan terumbang-ambing kerana tahun depan saya ingin daftarkan dia ke pra-sekolah,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia