Harian Metro

Faktor usia bukan halangan Chong Wei

- Helmi Talkah helmi.talkah@bh.com.my

Kuala Lumpur: Sabtu ini, jaguh perseorang­an negara, Datuk Lee Chong Wei (LCW) akan menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-35 dan walaupun usianya semakin meningkat, namun ia sedikit pun tidak melunturka­n semangatny­a untuk beraksi pada tahap tertinggi.

Malah, dia terus bertekad untuk meletakkan dirinya kekal sebagai pemain yang perlu ditewaskan oleh pencabarny­a terutama yang jauh lebih muda.

Saingan Terbuka Denmark yang akan bermula Selasa ini dilihat sebagai medan terbaik buat Chong Wei untuk membuktika­n dia masih mampu bertahan sekali gus memburu hadiah ulang tahun kelahiran buat dirinya tahun ini.

Pemain nombor tujuh dunia itu akan membuka tirai saingan menentang pemain Sepanyol, Pablo Abian di pusingan pertama, Rabu ini.

“Ini adalah dua kejohanan terakhir Siri Super tahun ini, jadi saya fikir apa yang lebih penting adalah menikmati permainan saya. Saya akan fokus satu demi satu perlawanan,” kata Chong Wei.

“Sudah pasti setiap kejohanan disertai, pastinya semua orang mahu menang dan begitu juga saya. Namun, untuk kekal berada pada tahap tertinggi, lebih penting untuk saya fikir mengenai diri saya termasuk mengelak daripada sebarang kecederaan.

“Selepas Kejohanan Dunia (tewas di pusingan pertama), saya berjaya mara ke final Terbuka Jepun dan secara perlahan saya kembali mendapat keyakinan. Yang penting sekarang adalah fikir mengenai prestasi saya sendiri.”

Sebagai rekod, Chong Wei sudah dua kali merangkul gelaran Terbuka Denmark iaitu pada edisi 2005 dan 2012.

Pemenang pingat perak Olimpik tiga kali itu turut mengakui saingan Terbuka Denmark dan Terbuka Perancis (dua hari selepas Terbuka Denmark berakhir) cukup penting buat dirinya untuk mengutip mata bagi layak ke Siri Super Akhir di Dubai, Disember depan.

“Kejohanan utama sudah tiada lagi tahun ini, jadi sudah pasti layak ke saingan Siri Super Akhir menjadi keutamaan saya. Saya akan buat yang terbaik di Denmark dan Perancis nanti,” kata Chong Wei yang kini menghuni tangga keenam ranking Siri Super Akhir.

Hanya pemain yang berada dalam kelompok ranking lapan terbaik layak beraksi di Dubai.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia