Harian Metro

Sepupu patah hati

Penganggur cemburu tendang perut wanita mahu kahwin dengan teman lelaki

- Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor mohdhelmi@hmetro.com.my

Angkara cemburu sepupunya mahu berkahwin, seorang penganggur bertindak menendang perut wanita itu sebelum mengamuk di rumah di Taman Jujur, Sikamat, di sini, kelmarin.

Sumber berkata, dalam kejadian jam 1 pagi, wanita berusia 31 tahun itu pulang ke rumah bersama teman lelaki dan ditahan suspek, 37, yang tinggal berhampira­n.

Mangsa dikejutkan sepupunya yang memegang kapak meluru ke arahnya dan menendang perutnya hingga terjatuh.

“Kejadian disaksikan seorang lagi saudara yang meleraikan pergaduhan. Suspek diarahkan pulang, manakala wanita itu dan teman lelaki memasuki kediaman,” katanya.

Kata sumber berkenaan, suspek datang semula ke rumah wanita terbabit jam 2 pagi dan mengarahka­n mereka keluar.

“Lelaki itu yang masih memegang senjata sama menghambur­kan kata-kata kesat dan mengugut mahu memotong kepala sepupunya. Suspek menjadi tidak keruan apabila memecahkan cermin tingkap di rumah wanita berkenaan,” katanya.

Menurutnya, keadaan bertambah kecoh apabila serpihan kaca mengenai bahagian badan anak perempuan mangsa.

“Sehubungan itu, wanita terbabit menghubung­i pihak polis sebelum sepasukan anggota tiba di lokasi. Suspek ditahan dan kapak dirampas,” katanya.

Kata sumber, siasatan mendapati suspek dan wanita itu adalah sepupu serta pernah bercinta.

“Hubungan itu terputus di tengah jalan berikutan suspek tidak bekerja, gemar bergaduh dan sering mabuk. Kemuncakny­a apabila wanita terbabit memutuskan mahu mendirikan rumah tangga bersama teman lelakinya,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban Superinten­dan Sulizmie Affendy Sulaiman ketika dihubungi mengesahka­n menerima laporan.

Katanya, suspek kini direman mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah serta khianat.

“Siasatan pihak polis mendapati punca amukan disebabkan suspek cemburu kerana sepupunya mahu mendirikan rumah tangga,” katanya.

 ??  ?? LOKASI kejadian penganggur amuk gara-gara sepupu mahu kahwin di Taman Jujur, Sikamat, Seremban.
LOKASI kejadian penganggur amuk gara-gara sepupu mahu kahwin di Taman Jujur, Sikamat, Seremban.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia