Kasih sayang ummah
Manusia banyak beri manfaat kepada orang lain dicintai Allah
kita berasa tidak senang hati untuk duduk selesa.
Bukan sekadar bersimpati, mereka perlukan bantuan untuk meringankan beban kehidupan. Mereka amat memerlukan bantuan terutama makanan dan pakaian.
Apa yang perlu kita lakukan? Wajib bagi kita sentiasa mendoakan keselamatan mereka. Jadikan amalan berdoa untuk orang lain sama ada yang dekat atau jauh dilakukan setiap masa terutamanya selepas selesai solat.
Mendoakan kesejahteraan dan keselamatan mereka yang sedang dizalimi dan ditindas sangat dianjurkan agama kita. Itu adalah bukti kasih sayang buat mereka yang seagama.
Baginda Rasulullah SAW menegaskan: “Orangorang yang memiliki kasih sayang akan mendapatkan curahan kasih sayang daripada Zat yang Maha Rahman.” (Hadis riwayat Imam at-Tirmidzi)
Abu Zar, seorang sahabat Rasulullah SAW menceritakan, pada suatu hari aku bertanya kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, amal apakah yang paling utama? Baginda menjawab: “Iman kepada Allah dan berjuang di jalan-Nya.” Kemudiannya aku bertanya lagi: “Andainya aku tidak mampu melakukannya? Jawab Rasulullah SAW: “Hendaklah kamu menolong manusia yang sedang bekerja atau berbuat sesuatu yang ditimpa musibah (kesulitan hidup).” Aku terus melontarkan pertanyaan lagi: “Bagaimana jikalau aku tidak mampu berbuat sesuatu?” Rasulullah SAW menjawab: “Tahanlah dirimu daripada berbuat jahat kepada manusia kerana hal itu adalah sedekah bagimu.” (Hadis riwayat Imam Muslim)
Berdasarkan kisah Abu Zar itu, berbuat baik dan membantu pihak lain yang berada dalam kepayahan hidup adalah amalan yang sangat digalakkan Islam.
Dalam satu hadis diriwayatkan Imam at-Tabrani, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Manusia yang paling dicintai Allah adalah yang paling banyak memberi manfaat kepada orang lain.
“Amalan yang paling dicintai Allah adalah kebahagiaan diberikan kepada sesama muslim, menghilangkan kesusahannya, membayar hutangnya atau menghilangkan rasa laparnya.
“Sesungguhnya, aku berjalan bersama salah seorang saudaraku untuk menunaikan keperluannya, lebih aku sukai daripada beriktikaf di masjid ini (Masjid Nabawi) selama sebulan. Sesiapa berjalan bersama salah seorang saudaranya dalam rangka memenuhi keperluannya hingga selesai, maka Allah akan meneguhkan telapak kakinya pada hari ketika semua telapak kaki tergelincir. Sesungguhnya akhlak yang buruk akan merosakkan amal sebagaimana cuka yang merosakkan madu.”
Hadis itu menerangkan syariat Islam dalam aspek hubungan sosial begitu indah dan harmoni. Ia ibarat peribahasa masyarakat Melayu lama yang mengatakan, ‘Cubit paha kanan, terasa di paha kiri.’
Pupuklah hati dan jiwa kita dengan nilai kesepaduan dalam memperkukuhkan solidariti sesama ummah supaya apa saja keperluan asasi kehidupan mereka yang seagama itu mampu dibantu dengan sebaiknya.
Penulis pensyarah Politeknik Muadzham Shah, Pahang