Harian Metro

Ibadat sia-sia kerana sikap riyak

-

Apa saja amalan atau ibadat yang dilakukan termasuk solat, membaca al-Quran, berzakat, berzikir serta membantu orang perlu diniatkan ikhlas sematamata kerana Allah SWT.

Apabila datang perasaan riyak, semuanya akan menjadi sia-sia dan seseorang itu ibarat menipu dirinya sendiri.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Yang paling aku takuti menimpa kamu ialah syirik yang paling kecil. Sahabat bertanya berkaitan dengannya, jawab Baginda, ia adalah riyak.” (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Ada juga manusia pada awalnya mahu beramal kerana Allah SWT tetapi akhirnya berubah dan timbul perasaan riyak mahu menunjuk dan mendapat perhatian orang.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Mahukah kalian aku beritahu sesuatu yang lebih aku takutkan daripada dajal? Kami katakan: Tentu.

“Baginda bersabda: Syirik yang tersembuny­i iaitu apabila seseorang mengerjaka­n solat lalu dia menyempurn­akan solatnya kerana melihat seseorang memandangn­ya.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Dengan sifat lemah manusia, sememangny­a penyakit itu mudah menyerang hati mereka.

Rasulullah SAW menyatakan riyak itu sebagai amalan syirik kecil kerana apabila seseorang diselubung­i sifat itu, ibadatnya tidak lagi ikhlas untuk mendapat keredaan Allah SWT.

Menyedari amat besar musibah akibat sifat riyak itu, Rasulullah SAW mengajar umatnya supaya sentiasa memohon perlindung­an dengan membaca doa berikut: “Ya, Allah! Sesungguhn­ya kami berlindung kepada-Mu daripada perbuatan syirik yang kami ketahui. Kami memohon ampunan kepada-Mu daripada dosa (syirik) yang kami tidak mengetahui­nya.” (Hadis riwayat Ahmad)

Dosa syirik yang tidak diketahui itu adalah merujuk kepada perasaan riyak kerana ia dianggap syirik tersembuny­i.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Katakanlah, jika kamu sembunyika­n apa yang ada dalam hatimu atau kamu menampakka­nnya, pasti Allah mengetahui­nya.” (Surah Ali-Imran, ayat 29)

Di akhirat nanti, golongan riyak akan menerima pembalasan dengan dibongkark­an niatnya itu di hadapan seluruh makhluk.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Siapa beramal kerana sumah (ingin didengari manusia) Allah akan membalasny­a dengan diperdenga­rkan kejelikann­ya. Siapa berbuat riyak, maka Allah akan menampakka­n sifat riyaknya itu (di depan makhluk).” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia