Harian Metro

‘Bot kami hancur’

 Tiga nelayan sempat naik ke atas tongkang selepas dirempuh

- Rosli Ilham am@hmetro.com.my

“Mujur kami sempat naik ke atas tongkang itu, jika tidak tak tahulah apa akan jadi kepada kami bertiga,” kata Mamat Jaafar, 61, selepas bot dinaikinya bersama dua awak-awak hancur akibat dirempuh tongkang di tujuh batu nautika dari Pantai Kuala Dungun, semalam.

Dalam kejadian jam 5.30 pagi, Mamat, Abu Bakar Salleh, 70, dan Majnun Abdul Ghani, 53, terselamat selepas menyelamat­kan diri dengan naik ke dalam tongkang terbabit sebelum bot mereka hancur dirempuh.

Mamat yang juga tekong bot berkata, mereka keluar menangkap ikan kira-kira jam 4 pagi dan dalam perjalanan itu tiada seorang pun antara mereka ternampak tongkang terbabit yang ditarik bot penunda kira-kira 300 meter dari bot mereka.

“Sebaik kemalangan, bot kami terlanggar tali kapal sebesar ukur lilit sebatang tiang elektrik yang menyebabka­n bot saya melekat.

“Saya cuba potong tali penunda itu, namun tidak berjaya sebelum tongkang berkenaan merempuh bot kami,” katanya ketika ditemui Harian Metro, di sini, semalam.

Menurutnya, dia tidak dapat melihat lampu tongkang terbabit yang sarat dengan muatan pasir.

“Saya gunakan lampu telefon sebagai isyarat untuk maklumkan kejadian kepada bot penunda terbabit yang tidak menyedari kemalangan itu.

“Apabila sedar, kapal terbabit terlihat isyarat diberi dan berpusing untuk menghampir­i kami. Bot terbabit kemudian membantu menghantar kami pulang dan kami selamat sampai di jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia LKIM Dungun, kira-kira jam 10 pagi,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Bencana Parlimen Dungun Mohamad Armi Hitam berkata, dia bersama Pengerusi Persatuan Nelayan Terengganu Mat Yassim Mohamed membawa nelayan veteran itu ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun untuk membuat laporan.

Katanya, pihaknya menganggar­kan jumlah kerugian dialami nelayan terbabit termasuk bot dan peralatan menangkap ikan mencecah RM150,000.

“Nelayan terbabit yang terkejut dengan kejadian itu tidak sempat mencatat sebarang maklumat mengenai tongkang dan bot penunda terbabit.

“Saya berharap pengendali bot penunda terbabit dapat menghubung­i Persatuan Nelayan Negeri Terengganu bagi memudahkan mangsa menuntut insurans,” katanya.

Sebaik kemalangan, bot kami terlanggar tali kapal sebesar ukur lilit sebatang tiang elektrik yang menyebabka­n bot saya melekat”

Mamat Jaafar

 ??  ?? MAMAT (kiri) bersama Abu Bakar (tengah) dan Majnun (dua dari kanan) menceritak­an kejadian bot mereka dirempuh tongkang kepada Mat Yassim.
MAMAT (kiri) bersama Abu Bakar (tengah) dan Majnun (dua dari kanan) menceritak­an kejadian bot mereka dirempuh tongkang kepada Mat Yassim.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia