Harian Metro

ADUN direman

- Norasikin Daineh norasikin_daineh@hmetro.com.my

 Adik Shafie Apdal individu ke-9 disiasat kes seleweng dana RM1 bilion

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lahad Datu Datuk Yusof Apdal direman empat hari mulai semalam bagi membantu siasatan kes penyelewen­gan dana RM1.5 bilion yang disalurkan menerusi Kementeria­n Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) di Sabah.

Yusof, 57, adik kepada bekas Menteri KKLW Datuk Seri Mohd Shafie Apdal adalah individu kesembilan yang direman untuk membantu siasatan Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes itu.

Perintah reman dikeluarka­n Majistret Stephanie Sherron Abbie di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, semalam.

Pada prosiding itu, SPRM diwakili Timbalan Pendakwa Raya Rozanna Abd Hadi dan Rustam Anip serta Pegawai Pendakwa Mohd Faliq Basirudin.

Yusof pula diwakili peguam Edward Paul dan Peter Lee.

Terdahulu, Yusof tampil memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah, sebelum ditahan jam 10 malam kelmarin.

Setakat ini, sembilan individu di Sabah dan Putrajaya direman termasuk lima ahli politik dan seorang penjawat awam bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Di Sabah, individu yang ditahan ialah Naib Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) Datuk Peter Anthony, 46, dan Ketua Wira parti itu, Datuk Mohd Azis Jamman, 43.

Selain itu, Ketua Penerangan Pemuda UMNO merangkap Ketua Pemuda UMNO Tenom, Jamawi Jaafar, 43, Ketua Pemuda UMNO Tawau Ariffin Kassim, 44, dan seorang lagi ahli perniagaan, Yu Sin Kong, 52, turut direman bagi membantu siasatan.

Turut direman seorang lagi adik kepada Mohd Shafie iaitu Hamid Apdal, 52, yang juga ahli perniagaan dan menantu Hamid, Manzur Hussien Awal Khan, 33.

Di Putrajaya, seorang wanita berusia 40 tahun yang juga bekas Timbalan Setiausaha di sebuah kementeria­n persekutua­n direman bagi membantu kes sama.

Bagaimanap­un, enam daripada mereka iaitu Peter, Yu, Mohd Azis, Jamawi, Ariffin dan seorang wanita 40 tahun dibebaskan daripada reman dengan jaminan SPRM.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia