Harian Metro

Siasat penipuan ambil masa

-

Kuala Lumpur: Proses siasatan bagi kes membabitka­n penipuan pelaburan wang akan mengambil lebih masa berbanding dengan jenayah lain kerana ia direka khas untuk kelihatan sah dan ia perlu dilakukan secara menyeluruh.

Peguam Muhammad Akram Abdul Aziz berkata, kes membabitka­n penipuan ini bukan sesuatu yang jelas dan boleh diambil tindakan serta merta, sebaliknya memerlukan siasatan yang terperinci sebelum mereka dibawa ke muka pengadilan.

“Pada pendapat saya, tidak benar jika dikatakan mereka yang membuat sindiket pelaburan palsu ini mudah terlepas daripada undang-undang.

“Cuma setiap skim pelaburan ini berbeza, maka setiap kes perlu diteliti dari segi fakta dan bukti sebelum pihak berkuasa dapat mengambil tindakan dan memilih peruntukan undang-undang yang bersesuaia­n untuk digunakan.

“Dari segi perundanga­n kita ada pelbagai undang-undang yang boleh digunakan untuk menangani perihal penipuan pelaburan antaranya adalah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Akta 613) (AMLA),” katanya.

Muhammad Akram berkata, memang undang-undang boleh diperkuatk­an supaya dapat menangani semua jenis skim penipuan ini, tetapi ia bukan satu-satunya cara untuk menangani gejala ini.

“Persoalan saya adalah mengapa skim begini wujud seperti cendawan selepas hujan? Ini kerana terdapat ‘permintaan’. Asas perniagaan adalah bekalan dan permintaan. Jika ada permintaan akan ada pembekal.

“Sama juga dengan skim penipuan pelaburan, disebabkan masih ramai yang mudah terpedaya maka penipu ini melihatnya sebagai lubuk keuntungan. Dalam konteks ini permintaan adalah mereka yang kerap melabur manakala bekalan adalah penipu itu,” katanya.

Beliau berkata, hakikat ramai yang mahu kaya secara mudah menyebabka­n ramai individu terpedaya apabila disogokkan dengan tawaran keuntungan berlipat ganda melalui skim pelaburan ini.

“Selagi ada sikap dan pemikiran ini masih ada dalam kalangan kita, undang-undang tidak akan mampu melindungi mereka kerana penipu sentiasa mencari jalan untuk mengekspol­oitasikan keadaan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia