Harian Metro

MERAUNG DIGIGIT ANJING

 Ibu mangsa tidak mahu isu diperbesar­kan, cuba selesai cara baik

- Essa Abu Yamin am@hmetro.com.my

> 2

Ibu kanak-kanak perempuan yang parah akibat digigit anjing tidak dapat melupakan detik cemas ketika mereka diserang haiwan berkenaan di Taman Banang Heights, di sini, jam 6 petang, Isnin lalu.

Noor Fazilah Ishak, 30, berkata, ketika kejadian, dia bersama anaknya, Ainin Syuhadah Syahrul Nizam, 2, dan seorang lagi anaknya, Ainul Safiya, 4, membonceng motosikal ditunggang adik lelakinya berusia 17 tahun.

Beliau berkata, kejadian berlaku ketika mereka mahu pulang ke rumah yang disewa berdekatan tempat kejadian sebelum motosikal dinaiki gagal dikawal lalu terbabas ketika cuba mengelak lori yang memunggah barang.

“Kami dalam perjalanan pulang dari hospital kerana menziarahi seorang lagi adik saya yang sakit dan ketika kejadian, saya memeluk Ainin Syuhadah lalu terjatuh ke dalam longkang manakala adik saya dan Ainul Safiya jatuh di bahagian kaki lima premis berkenaan.

“Secara tiba-tiba anjing yang diikat di situ menerkam kami mungkin kerana haiwan itu terkejut dengan rempuhan motosikal ke pintu kedai dan terus menggigit kepala Ainin Syuhadah,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), semalam.

Noor Fazilah berkata, anaknya menangis kesakitan dan meraung sekuat hati ketika anjing terbabit menggigit bahagian belakang kepala termasuk telinga kanan sehingga darah mengalir banyak.

“Orang ramai juga membantu melepaskan gigitan anjing terbabit sebelum anak saya dibawa ke hospital dan menerima beberapa jahitan di kepala serta telinga,” katanya yang masih dalam keadaan trauma akibat kejadian berkenaan.

Noor Fazilah juga turut berharap pengguna media sosial tidak membuat andaian sendiri berhubung video terbabit yang tular di media sosial termasuk menuduh adiknya mengambil bahan terlarang.

“Saya kesal apabila membaca komen di media sosial termasuk menyatakan pemilik anjing berkenaan tidak bertanggun­gjawab pada hal mereka memberi kerjasama baik termasuk melawat anak saya di hospital semalam (kelmarin).

“Kami juga membuat laporan polis serta merujuk kepada Jabatan Veterinar berkaitan haiwan itu dan tidak mahu isu ini diperbesar­kan sedangkan ia boleh diselesaik­an dengan cara baik,” katanya.

Dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 1.29 saat di tempat kejadian, anjing berkenaan yang diikat di tiang premis menerkam kanak-kanak terbabit selepas motosikal mereka terbabas dan merempuh pintu kedai.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa ketika dihubungi mengesahka­n kejadian berkenaan dan meminta pihak berkuasa tempatan melakukan pemantauan terhadap anjing liar mahupun anjing peliharaan yang dibiarkan ditempat awam.

“Kes berkenaan disiasat di bawah Rule 10 LN 166/59 manakala kes kanak-kanak digigit anjing disiasat dibawah Seksyen 289 Kanun Keseksaan kerana cuai menyebabka­n binatang peliharaan mendatangk­an kecederaan.

“Jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara maksima enam bulan dan denda tidak lebih RM2,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Anjing yang diikat di situ menerkam kami mungkin kerana terkejut Noor Fazilah

 ??  ??
 ??  ?? KETUA Biro Kebajikan UMNO Bahagian Batu Pahat, Mohd Hamidi Mad Tap (kiri) menyampaik­an sumbangan kepada mangsa di HSNI.
KETUA Biro Kebajikan UMNO Bahagian Batu Pahat, Mohd Hamidi Mad Tap (kiri) menyampaik­an sumbangan kepada mangsa di HSNI.
 ??  ?? KEADAAN Ainin Syuhadah yang parah di kepala akibat digigit anjing.
KEADAAN Ainin Syuhadah yang parah di kepala akibat digigit anjing.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia