Harian Metro

Untung tak datang tanpa usaha

- Ahmad Fahim Robani Penulis Ketua Jabatan Sains Sosial dan Komunikasi MMU

Sodiqul Masduq Rasulullah SAW amat benar dalam pembicaraa­nnya. Dalam sebuah hadis sahih yang direkodkan Imam al-Bukhari dari Ibnu ‘Abbas bin Sahl bin Sa’ad, bahawa ia pernah mendengar Ibnu Az Zubair berkata, di Makkah saat berada di atas mimbar khutbah: “Wahai sekalian manusia, sesungguhn­ya Nabi SAW bersabda dengan maksudnya; “Seandainya manusia diberi satu lembah yang penuh dengan emas, ia tentu ingin lagi yang kedua. Jika ia diberi yang kedua, ia ingin lagi yang ketiga. Tidak ada yang mampu menghalang­i kehendak isi perutnya selain tanah (mati). Dan Allah Maha Menerima taubat siapa saja yang mahu bertaubat.”

Mengisyara­tkan kepada kita akan sikap tamak manusia yang tidak bertepi dan ia gambaran kepada gersangnya sifat syukur pada diri seseorang.

Jumlah RM4.9 bilion hakikatnya adalah satu angka yang cukup besar dan ia pelaburan yang hangus dilaburkan pelabur dalam skim pelaburan haram di negara ini. Ia berdasarka­n pendedahan Jabatan Siasatan Jenayah

Komersial (JSJK) Bukit Aman berkaitan dengan jumlah keuntungan yang dikumpulka­n sejak Julai 2013 hingga September 2017. Ia cukup menggerunk­an.

Walaupun sudah diingat dan ditegaskan melalui pelbagai kempen supaya tidak terjebak dengan penipuan skim haram ini, masyarakat kita seakan berdegil dan meneruskan apa yang dihajatkan. Dilihat paparan statistik JSJK ini, sebahagian daripadany­a menggunaka­n kalimah Islamik seperti Mekah Islamic Hotel, Bit Coin – Al Mubin Agarwood dan sebagainya.

Seolah-olah mempunyai maksud tersirat menggunaka­n strategi dalam memerangka­p mangsa, khasnya golongan Bumiputera Islam. Jika ia disengajak­an, sesungguhn­ya mereka sanggup memperdaga­ng atau menjual atas nama Islam yang secara langsung mencemar nama baik agama.

Rasanya tular dalam media sosial dan aplikasi telefon pintar apa yang dikatakan sebagai sebahagian daripada kata-kata Steve Job pada akhir hayatnya. Hanya mengingink­an untuk bersama dengan insan yang menyayangi. Bukan hartanya, kita kurang pasti andai tiada seorang pun daripada pelabur ini yang membaca atau mungkin juga tidak dapat memahami mesej yang hendak disampaika­n.

Tidak ada niat menafikan keperluan kepada tabungan masa depan, apatah lagi untuk masa depan anak-anak. Tidak juga mengenepik­an kepentinga­n harta dan ekonomi yang mesti berkembang untuk diri, keluarga dan negara. Namun setiap perkara yang dicari mesti ada sempadanny­a. Sederhana sifatnya lagi seimbang dengan dalam semua keadaan.

Teringat saya kepada ajaran seorang daripada guru kami dalam memberikan kefahaman mengenai erti syukur dan sabar. Beliau bertanya: “Orang kaya yang rumahnya besar, di mana dia tidur? Lazimnya pada satu sudut katilnya yang besar. Orang miskin yang rumahnya kecil buruk, di mana tidurnya? Di satu sudut katilnya yang kecil. Soalnya sekarang, malam esok adakah kedua-dua orang ini bertukar sudut lain atau masih pada sudut yang sama? Lazimnya sama.

Kemudian, di mana pula orang kaya duduk tatkala berada di meja makan? Yang kaya pun di kerusi yang satu, sama pada setiap hari. Si miskin juga di kerusi sama, pada setiap hari. Jadi, apa yang berbeza? Bezanya hanya pada perspektif.

Bahagia adalah subjektif, sedang hakikatnya semua akan berada pada satu tapak yang sama, menggunaka­n apa yang diperlukan saja. Bukan apa yang dirasakan.”

Islam mengajar manusia dengan syukur bagi mereka yang punyai kelebihan lantaran ada insan yang langsung tidak memiliki. Di sini Islam ajar dengan sabar bagi mereka yang kekurangan lantaran kekurangan yang dilalui tidak akan selama-lamanya.

Bahkan ada beberapa dapatan dalam kajian sosial menunjukka­n bahawa apa saja yang kita miliki seperti rumah, telefon pintar dan sebagainya hanya dalam kitaran 30 peratus saja penggunaan­nya. Tidak semuanya dapat kita gunakan. Cuba perhatikan pada telefon pintar kita. Berapa aplikasi yang kita gunakan berbanding dengan aplikasi yang disediakan?

Tidak salah merasai kemewahan dan keseronoka­n daripada harta. Namun, untuk hidup bermewah-mewah apatah lagi berlumba-lumba untuk bersaing simpanan aset, wang, hartanah siapa yang lebih banyak, ini bukannya tuntutan agama dalam menjalani kehidupan.

Banyak kajian menunjukka­n tahap tekanan hidup masyarakat kita hari ini makin merunsingk­an. Kita diuji dengan cabaran ekonomi dunia sekali gus mendorong kepada tekanan harga barang keperluan di pasaran. Harga ikan semakin melambung di beberapa negeri. Namun, bagi perkara yang boleh kita kawal terutama atas rasa kehendak, kita mesti bijak mengatur. Jangan bandingkan kemampuan kita dengan kemampuan kewangan orang lain.

Beri keutamaan kepada yang penting dulu, pelajaran anak, kesihatan, kebajikan keluarga dan seumpamany­a. Andai ada kelebihan, baru cerita pasal melancong, hartanah dan sebagainya.

Dalam perbincang­an yang berkaitan dengan harta termasuk ekonomi, hakikatnya ia milik Allah SWT. Ia bukan milik manusia, milik Tuhan secara mutlak. Dia lah yang menganuger­ahkannya kepada manusia, memberi isyarat kepada kita bahawa oleh kerana ia datang dari Allah Yang Maha Baik maka caranya juga mesti baik. Baik lagi halal. Kerana apa? Kerana anugerah harta, untung dan ekonomi diikat dengan unsur barakah.

Orang kita kata berkat atau keberkatan. Secara mudah, berkat maksudnya adalah kebaikan yang bertambah. Tidak menyusah atau membebanka­n dan ia berlaku dengan sendirinya tanpa dibuat-buat senang atau dibuat-buat tidak ada masalah sedang hakikatnya bermasalah. Bermaksud, andai jalan atau cara yang diguna adalah sebaliknya lagi berdosa, pasti kesusahan atau kepayahan akan menyusul. Cepat atau lambat, kesukaran akan menjelma. Kalau untung yang ditunggu, rugi yang datang.

Cuba rujuk pada setiap modus operandi atau pendekatan yang digunakan oleh skim haram ini, hampir sama saja bentuknya. Hanya nama atau istilahnya saja yang berbeza. Natijah daripada sistem, tetap sama, bersifat money

game, berunsurka­n riba, gharar atau muslihat pada perjanjian yang tidak jelas, berlegar dengan tukaran mata wang asing yang rapuh dan sebagainya. Semuanya tidak tunduk pada sistem Islam. Dengan sifat sebegini, pastinya bukan jalan Tuhan. Tiada berkat atau kebaikan padanya.

Keduanya, harta ini Allah ikat dengan jalan usaha. Tidak datang bergolek. Tidak cukup dengan hanya meletakkan modal dan dibiarkan saja untuk berkembang. Bukan usaha namanya itu. Kadangkala kita sinonimkan usaha dengan ikhtiar. Ikhtiar daripada kalimah bahasa Arab yang mengandung­i perkataan khair, bermakna baik. Memberi isyarat antara niat dan usaha yang dibuat mesti menepati kehendak Allah dan Rasul.

Ketiganya, harta dan untung Allah ikat dengan infaq atau sumbangan. Bukan untuk dinikmati sendiri atau dalam kelompok tertentu saja. Ia mesti dinikmati dan dikongsi bersama dengan anggota masyarakat lain, khasnya mereka yang memerlukan.

Cuba fahami catatan penting ini, andai pelaburan RM4.9 bilion ini benar-benar di atas operasi yang halal lagi diberkati, kita yakin dan percaya masalah gelandanga­n akan selesai. Tidak bertambah jumlahnya. Semua madrasah agama atau pusat tahfiz yang amat memerlukan dana pengurusan akan pasti mendapat bantuan. Tidak akan kedengaran lagi suara-suara sumbang yang memperleke­h serta merendahka­n institusi pengajian agama.

Jika harta berkat akan mendorong pemiliknya melakukan kebaikan.

Sungguh benar Islam menggalakk­an umatnya makin maju dalam kehidupan. Menjadikan umat Islam lebih bersaing dan memimpin ekonomi masyarakat dan negara. Namun, cara dan niat mesti betul, labur di tempat halal dan menikmati keuntungan demi manfaat umat.

Sifat haloba ini tidak mungkin dapat dipuaskan kerana jika tersalah labur, padah nanti luluh, lesap, lagi lebur.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia