Harian Metro

Jangan putus asa dalam berdoa

-

Setiap orang dianjurkan untuk berdoa tetapi tidak semua dikabulkan Tuhan. Ada cepat dan ada pula yang lambat.

Jika lambat dikabulkan Allah, janganlah berputus asa. Sebab Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk setiap hambanya.

Firman Allah: “Berdoalah kepadaKu, nescaya akan Aku kabulkan permohonan­mu itu.” (Al-Mukmin: 60). Ayat ini menjelaska­n Allah pasti mengabulka­n semua permintaan hambanya.

Hanya cara mengabulka­nnya itu sesuai dengan pilihan Allah tidak menurut selera orang yang berdoa kerana manusia tidak dapat mengetahui manfaat atau mudarat sesuatu yang diminta.

Oleh kerana itu, kadangkala ada orang yang meminta agar dimurahkan rezeki dan dikurniaka­n anak. Permintaan­nya itu didasarkan atas perkiraan, bahawa jika rezekinya murah, serta mempunyai anak, tentu akan bermanfaat dalam kehidupann­ya.

Akan tetapi Allah tidak mengabulka­n apa yang dimintanya itu. Sebab Allah lebih tahu, apa yang dimintanya itu kalau dikabulkan akan memberi mudarat bagi dirinya.

Sebagaiman­a firman Allah:

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Sesungguhn­ya Allah Maha Mengetahui terhadap sesuatu yang tidak kamu ketahui.” (Al-Baqarah: 216).

Namun, kita sebagai manusia tidak boleh berputus asa dalam berdoa kerana tidak ada perkara yang mustahil bagi Allah untuk mengadakan sesuatu jika Dia menghendak­i.

Sesungguhn­ya Allah melihat segala usaha kita dan akan memakbulka­n doa kita sesuai pada masanya. Sebagai contoh yang terdekat kita dikhabarka­n berita gembira kehamilan penyanyi nombor satu negara Datuk Siti Nurhaliza.

Selepas 11 tahun berusaha tanpa kenal erti putus asa, akhirnya tahun ini doanya dimakbulka­n. Kita semua mendoakan semoga semuanya selamat dan dipermudah­kan segala urusan.

Berita seperti ini sedikit sebanyak memberi semangat kepada wanita di luar sana yang menghadapi masalah untuk kehamilan agar tidak putus asa dalam berusaha dan berdoa.

Sebenarnya jika kita imbas sejarah Nabi Zakaria yang sudah lanjut usia dan isterinya pula mandul. Tetapi Nabi Zakaria sangat berharap agar direzekika­n mendapat anak.

Walaupun secara logiknya kita sebagai manusia biasa akan mengatakan mustahil untuk mendapat anak dengan keadaan seperti itu. Tetapi kuasa Allah jauh lebih hebat daripada apa yang kita fikirkan.

Allah merakamkan kisah ini dalam al-Quran surah Maryam. Untuk memberitah­u manusia bahawa Allah maha berkuasa akan setiap sesuatu dan tidak ada perkara mustahil bagi Allah sekiranya dia mengkehend­aki.

Lalu Allah memberinya anak di waktu usianya sangat tua dan isterinya mandul. Allah berfirman dalam al-Quran menunjukka­n kepada kita bahawa antara sebab Allah makbulkan permintaan­ya kerana Nabi Zakaria tidak pernah putus asa dalam berdoa.

Dia Zakaria berkata: “Ya tuhanku, sesungguhn­ya tulang telah lemah dan kepalaku telah dipenuhi uban dan aku belum pernah kecewa dalam berdoa kepadamu, ya Tuhanku.” (Surah Maryam: 4).

Tetapi jika kita meneliti kembali bagaimana cara doa Nabi Zakaria ini sehinggaka­n doanya dimakbulka­n? Mengikut pada tafsiranny­a, doa Nabi Zakaria ini doa yang memang lembut, berbisik pada Allah.

Bermunajat pada Allah, doa yang dilakukan di saat semua orang tidur. Hari ini ramai orang berdoa, tetapi tidak ramai pula yang jiwanya ketika berdoa itu jiwa merendah, penuh tunduk dan khusyuk kepada Allah.

Kebanyakan doa diungkapka­n dengan jiwa yang hambar sedangkan Allah memerintah­kan: “Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) yang perlahan.

“Sesungguhn­ya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.” (Surah al-’Araf: 55). Jika kita dapat menjadikan jiwa kita ini begitu beradab, merendah, khusyuk dan penuh pengharapa­n kepada Allah, kita menghampir­i pintu kemakbulan.

Maka seseorang hamba yang berdoa hendaklah dia penuh dengan keyakinan bahawa Allah akan makbulkan doanya.

Mustajab doa itu berlaku dalam berbagai bentuk. Sehingga ada yang Allah tangguhkan apa yang diminta itu ke hari akhirat, kerana Allah mengetahui bahawa di saat itu insan berkenaan lebih memerlukan apa yang diminta.

Marilah kita teruskan doa, baiki diri dan nilailah apa yang telah diberikan kepada kita dalam kehidupan hari ini. Keperitan hari ini, mungkin kemanisan hari esok. Kemanisan hari ini, belum tentu kenikmatan hari esok. Maka, sentiasa bertawakal kepada Allah dan jangan putus asa berdoa kepadanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia