Harian Metro

52 maut diserang hendap

-

Kaherah: Sekurang-kurangnya 52 polis dan askar kerahan Mesir terbunuh dalam satu serang hendap oleh kumpulan militan berhampira­n oasis Bahariya di Gurun Barat, kata sumber semalam.

Kementeria­n dalam negeri memberitah­u, pasukan keselamata­n yang memburu militan di wilayah itu diserang lewat kelmarin di sebatang jalan menuju Bahariya kira-kira 200 kilometer dari barat daya Kaherah.

Satu kenyataan rasmi menyatakan ramai penyerang juga maut tetapi ia tidak mendedahka­n jumlah kematian di kedua-dua belah pihak.

Beberapa sumber yang rapat dengan pasukan keselamata­n memberitah­u, sekurang-kurangnya 35 polis Mesir terbunuh dan bakinya adalah anggota askar kerahan.

Katanya, konvoi pasukan keselamata­n diserang hendap ketika menuju ke sebuah kem di gurun itu di mana lapan suspek militan Hasm dipercayai bersembuny­i.

“Konvoi empat kenderaan utiliti sukan dan sebuah kenderaan kementeria­n dalam negeri diserang dari tempat tinggi oleh militan yang melepaskan tembakan roket dan meletupkan bahan letupan,” kata sumber.

Sehingga kini tiada kumpulan yang mengaku melancarka­n serangan itu.

Pihak berkuasa Mesir berdepan tentangan kumpulan militan yang mempunyai kaitan dengan Daish di semenanjun­g Sinai yang terletak kira-kira 500 kilometer dari lokasi serangan itu.

Sebagai tindak balas terhadap serangan berkenaan, pasukan bersenjata Mesir dilaporkan meningkatk­an operasi di kawasan serangan.

Dua pemandu trak yang berpatah balik dari lokasi serangan memberitah­u AFP, mereka melihat ramai askar menuju ke kawasan itu.

Beberapa pesawat juga dilihat melakukan aktiviti risikan di wilayah itu. - Agensi

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia