Harian Metro

Buntu fikir nasib suami, anak

-

Georgetown: “Saya tidak dapat tidur memikirkan nasib suami saya (Raza Ali) serta bakal anak sulung kami nanti,” kata Nuraini Rusanti Abdullah, 33, yang mengandung tiga bulan ketika ditemui di lokasi kejadian tanah runtuh menyebabka­n 11 tertimbus di tapak pembinaan rumah mampu milik setinggi 50 tingkat di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah, di sini, semalam.

Katanya, suaminya yang juga warga Pakistan masih tertimbus di dalam runtuhan tanah dan dia berharap mayatnya dapat dijumpai dengan segera. Menurutnya, dia dan suami berkahwin awal tahun lalu dan kini dia mengandung tiga bulan.

“Saya sudah dua hari menunggu di sini sejak semalam (kelmarin) dan menantikan perkembang­an terkini kejadian.

“Semoga jenazah suami saya dapat dijumpai dengan segera dan saya risau memikirkan nasib anak kami kelak kerana dia dilahirkan tanpa ayah,” katanya.

Sementara itu, peniaga kantin, Yani, 40, berkata, dia masih terbayang dan terkenangk­an gelagat seorang pekerja warga Bangladesh yang beriya-iya mahu membayar hutang kerana bimbang tidak kesempatan berbuat demikian jika dijemput ajal.

Menurutnya, lelaki berkenaan turut menjadi antara 11 pekerja yang ditimbus tanah dalam kejadian jam 8.50 pagi kelmarin itu.

“Saya masih ingat dia berkata, ‘Saya mahu bayar hutang saya, mana tahu nanti lepas ni saya mati’. Saya tidak ingat namanya tetapi cam muka lelaki warga Bangladesh itu dan sebelum ini dia makan di kantin secara hutang dan akan melunaskan­nya sebaik menerima gaji.

“Semalam (kelmarin), dia datang makan mi goreng di kantin kira-kira jam 8 pagi sebelum tergesa-gesa datang ke kaunter dan membayar hutangnya.

“Dia berkata mahu membayar semua hutangnya kerana khuatir tidak sempat membayarny­a sekiranya dia meninggal dunia,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia