Harian Metro

Alvin tak kecil hati

- DARI MUKA R23 Bakal dendang lagu Melayu

Abaikan saja komen negatif netizen di laman sosial

Secara peribadi, Alvin mengakui dia gembira kerana kehadirann­ya diterima peminat.

“Saya gembira kerana lakonan saya dalam Suri

Hati Mr Pilot dan kini, Awak Suka Saya Tak mendapat sambutan hangat penonton.

“Pada mulanya saya gementar untuk melakonkan watak seorang mualaf kerana watak sebegitu sensitif dalam kalangan orang Melayu.

“Cabaran terbesar untuk melakonkan watak itu ialah untuk memastikan lakonan itu tepat dan tidak melanggar ajaran agama Islam.

“Saya percaya setiap agama perlu dihormati walaupun saya bukan beragama Islam. Mujur lakonan saya itu diterima penonton dengan baik,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan dan sidang media filem Haunted Hotel di Damansara Uptown, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Ditanya mengenai kritikan watak mualaf iaitu Hilman dalam drama Awak Suka Saya Tak, kata Alvin, dia tidak tertekan dengan kritikan netizen di laman sosial.

“Saya perlu menapis setiap komen negatif dan hanya memberi maklum balas terhadap komen membina saja di media sosial.

“Saya tahu apa yang dilakukan dan saya percaya penonton kita juga sudah bijak menilainya.

“Sampai masanya penonton kita perlu dididik untuk lebih berfikiran terbuka dalam soal ini,” katanya.

Bagaimanap­un, kata Alvin, dia perlu bekerja keras untuk menempa nama dalam bidang hiburan tempatan.

“Dari segi lakonan pula, saya sentiasa memperbaik­i penguasaan bahasa Melayu dan prestasi lakonan sedia ada dari semasa ke semasa,” katanya.

Bukan saja lakonan, Alvin yang memulakan kariernya sebagai penyanyi sejak 2012 juga bakal muncul dengan dua single dalam bahasa Melayu tidak lama lagi.

“Selain berlakon, saya juga menceburi bidang nyanyian. Selain single dalam bahasa Melayu, saya juga akan muncul dengan lagu dalam bahasa Mandarin tidak lama lagi.

“Saya sangat berharap bukan saja lakonan, lagu dendangan saya juga akan diterima peminat dalam bidang hiburan,” katanya.

Mengulas filem Haunted Hotel pula, kata Alvin, dia sangat gembira filem lakonannya itu sudah mencecah kutipan hampir RM10 juta di China.

Dalam filem arahan Ryon Lee itu, Alvin melakonkan watak sebagai petugas hotel yang berhantu.

“Walaupun watak saya kecil saja dalam filem itu tetapi saya turut menimba pengalaman berbeza sepanjang penggambar­an di Genting Highlands sebelum ini.

“Cara kita bekerja berbeza dengan pelakon dari Thailand dan China termasuk kru produksi. Inilah masanya kita menimba ilmu lakonan dengan mereka,” katanya.

Namun kata Alvin, dia terpaksa menolak tawaran berlakon dalam genre seram buat sementara waktu.

“Sebenarnya saya seorang yang penakut dan perasaan takut itu sering terbawa-bawa di rumah walaupun penggambar­an filem seram itu sudah selesai,” katanya.

Selain Alvin, filem itu menampilka­n barisan pelakon dari tiga negara iaitu Aom Sushar (Thailand), Li Chuan (China) dan pelakon dari Malaysia iaitu Teddy Chin serta Nadia Aqilah.

Filem Haunted Hotel mula ditayangka­n di pawagam seluruh negara bermula 19 Oktober lalu. - Ramlah Zainal

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia