Harian Metro

Pasang niat buat kebajikan

- Idris Musa idris@hmetro.com.my

 Pensyarah asas persatuan untuk tabur bakti kepada masyarakat

Tidak ramai golongan profesiona­l sanggup melakukan aktiviti secara sukarela selain tugas rasmi setiap hari semata-mata untuk menabur bakti kepada masyarakat.

Namun bagi pensyarah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM) Rozainah Mat Yusoff, 41, beliau membabitka­n diri dalam aktiviti kemasyarak­atan sejak usia muda lagi.

Menurutnya, beliau tidak pernah menjadikan kesibukan rutin harian bersama pelajar di dewan kuliah dan tumpuan kepada keluarga sebagai alasan tidak berkhidmat kepada khalayak.

“Tugas pensyarah sebenarnya banyak dan bukan hanya mengajar di dewan kuliah. Saya mula membabitka­n diri dengan kerja kebajikan ini dari awal lagi. Pada saya, kita kena keluar dari zon selesa dan tidak sekadar melakukan tugas rutin harian.

“Dengan anak-anak saya ada jadual untuk bersama mereka. Saya selalu mengadakan perbincang­an mengenai pencapaian dan memberikan motivasi kepada mereka. Dari situ juga saya dapat mendisipli­nkan mereka.

“Saya katakan kepada mereka, ibu buat kerja masyarakat ini sebab ia dituntut agama. Kadang-kadang saya turut membawa mereka ke lokasi,” katanya yang mempunyai empat anak berusia lima hingga 18 tahun.

Rozainah yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan membabitka­n diri dalam aktiviti kemasyarak­atan melalui Persatuan Jururawat Sukarelawa­n Malaysia (MVNA) diasaskann­ya dan St John Ambulans Wilayah Persekutua­n.

Beliau memiliki Diploma Kejururawa­tan dari Kolej Kejururawa­tan Kubang Kerian, Ijazah Kejururawa­tan Dengan Kepujian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Sarjana Sains Kejururawa­tan Universiti Malaya dan Sijil dalam Pengajaran dan Pembelajar­an Internatio­nal Medical University Bukit Jalil.

Sebelum bergelar pensyarah di UPM, beliau berkhidmat di beberapa institusi, antaranya sebagai jururawat pembedahan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dan Institut Jantung Negara (IJN).

Beliau yang juga Presiden MVNA berkata, aktiviti kemasyarak­atan sebenarnya memberikan banyak faedah termasuk meningkatk­an tahap keyakinan diri dan kemahiran dalam hubungan komunikasi.

“Dalam perkara ini saya perbetulka­n niat iaitu hendak membuat kebajikan. Ilmu dan pengalaman yang ada, kita kena berkongsi dengan masyarakat. Kita pun dituntut melakukan kebajikan.

“Justeru, saya juga memberikan khidmat melalui St John Ambulans. Saya bermula sebagai Pegawai Turus Wilayah, kemudian Pegawai Perawatan Wilayah yang bertanggun­gjawab menggubal silibus perawatan, hakim pertanding­an dan pemeriksa kepada ahli St John,” katanya.

Mengenai MVNA katanya, persatuan itu kini dalam proses mengumpul ahli daripada kalangan jururawat berdaftar di seluruh negara.

Katanya, persatuan itu menjadi saluran kepada jururawat melakukan kerja kebajikan selain platform kebajikan mereka termasuk meminta kenaikan gaji pada masa depan.

“Sebelum ini sesetengah jururawat yang ingin terbabit dalam kerja sukarela terpaksa melakukann­ya melalui badan lain. Malah, ada sesetengah pihak selalu bercakap isu jururawat dalam aspek negatif.

“Padahal jika tidak ada jururawat, ramai yang susah. Mereka yang menjadi tulang belakang dalam memberi perawatan. Mereka bukan bekerja di hospital saja, malah di luar waktu kerja rasmi sebagai sukarelawa­n.

“Dari situ, saya fikir tenaga kesihatan yang majoritiny­a jururawat perlu ada persatuan khusus. Saya kena bawa ke depan imej jururawat supaya masyarakat sedar tugas mereka. Besar jiwa mereka sebenarnya,” katanya.

 ??  ?? ROZAINAH bersama pelajar semasa latihan klinikal.
ROZAINAH bersama pelajar semasa latihan klinikal.
 ??  ?? ROZAINAH sewaktu menerima Pingat Jasa Terpuji St John Ambulans Malaysia.
ROZAINAH sewaktu menerima Pingat Jasa Terpuji St John Ambulans Malaysia.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia