Harian Metro

Terjun dari bas

-

 Pemandu enggan berhenti walaupun asap penuh dalam kenderaan sebelum disondol

“Asap penuh dalam bas, tetapi pemandu enggan berhenti menyebabka­n ada rakan saya nekad terjun dari bas yang sedang bergerak,” kata warga Indonesia, Fibar Ais, 19, yang selamat dalam kemalangan dua bas kilang mengorbank­an lapan pekerja di Kilometer 147, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara berhampira­n Plaza Tol Juru, Bukit Mertajam, dekat sini, semalam.

Gadis dari Medan, Indonesia itu berkata, dalam kejadian jam 5.50 pagi, enjin bas berkenaan mungkin rosak hingga asap masuk ke dalam bas menyebabka­n dia dan rakannya menjadi takut serta cemas, tambahan pula lampu dalam bas tidak dipasang.

Katanya, dalam keadaan panik, mereka menjerit kepada pemandu bas supaya memberhent­ikan kenderaan, tetapi pemandu itu tidak mengendahk­an jeritan mereka, malah memecut bas dengan laju.

“Semua panik kerana keadaan dalam bas gelap dan bau asap kuat, tetapi pemandu bas pula tidak mengendahk­an kami. Kami bimbang bas terbakar menyebabka­n seorang rakan nekad terjun dari bas yang masih bergerak dan pintu bas pula terbuka.

“Berikutan itu, pemandu bas memberhent­ikan bas secara mengejut dan saya cuba turun dari bas, tetapi terjatuh ke atas jalan akibat ditolak dari belakang oleh rakan lain hingga cedera di kaki dan tangan.

“Tidak lama kemudian, bas kami dirempuh dari belakang oleh bas kilang lain menyebabka­n tujuh rakan saya meninggal dunia manakala ramai lagi cedera,” katanya ketika ditemui di Hospital Seberang Jaya, di sini, semalam.

Sementara itu, suri rumah, Sri Wahyuni, 42, berkata, adiknya, Sahfitri, 19, turut menaiki bas sama serta bekerja sebagai operator di Kilang Sony di Bayan Lepas sejak enam bulan lalu.

“Adik saya beritahu bas rosak hingga asap masuk dalam bas dan pekerja menjerit, tetapi pemandu bas tidak berhenti menyebabka­n dalam keadaan kelam-kabut itu, ada yang melompat keluar dari bas.

“Berikutan itu, bas berhenti secara tiba-tiba di lorong kiri dan selepas itu dirempuh bas dari belakang. Saya sudah lama tidak puas hati dengan pemandu bas itu dan pekerja juga selalu mengadu mengenai pemandu bas yang suka memandu laju,” katanya.

 ??  ?? SRI Wahyuni (kiri) dan Esther ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Seberang Jaya, semalam.
SRI Wahyuni (kiri) dan Esther ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Seberang Jaya, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia