Harian Metro

Amalan baik untuk ke akhirat

 Sedekah, ilmu bermanfaat dan doa anak soleh bantu si mati

- Penulis Wartawan Harian Metro

Cukup bertuah kerana kita dilahirkan sebagai umat Nabi Muhammad SAW. Dalam bab ibadat, Allah SWT memberikan pahala berganda yang tidak pernah diberikan kepada umat nabi terdahulu.

Contohnya, kita yang melaksanak­an solat diberikan satu pahala. Bagaimanap­un, jika kita melaksanak­an solat secara berjemaah, Allah SWT akan memberikan 27 pahala.

Ganjaran itu tidak pernah diberikan kepada umat terdahulu. Begitu juga pada Ramadan, ibadat wajib akan digandakan sehingga 70 pahala.

Apabila dapat beribadat pada malam lailatul qadar, pahala akan digandakan sehingga 1,000 bulan iaitu menyamai 83 tahun empat bulan kita beribadat.

Selain itu, keistimewa­an ibadat umat Nabi Muhammad ialah sambil beribadat kita boleh mendapat pengampuna­n daripada Allah SWT. Itu juga tidak diberikan kepada umat nabi terdahulu.

Sebagai makhluk yang dikurniaka­n akal fikiran, manusia bebas memilih jalan untuk membawa diri mereka ke jalan bahagia atau kehancuran.

Apabila setiap orang yakin adanya kehidupan kedua selepas kematian menjadikan mereka sentiasa berusaha untuk mempersiap­kan diri.

Barangkali ada yang beranggapa­n kematian hanya berlaku apabila seseorang itu mencapai usia lanjut walaupun banyak kali menyaksika­n jenazah diuruskan serta menghadiri majlis pengebumia­n ahli keluarga, saudara atau rakan taulan yang masih muda dijemput Ilahi.

Kita perlu sentiasa memikirkan segala perkara yang dapat dilakukan untuk menerima kematian diri sendiri dengan hati terbuka.

Sehubungan itu, kita perlu menghiasi hidup dengan amalan baik dan bermanfaat bukan saja untuk diri malah untuk orang lain supaya mereka yang hidup nanti akan mengenang segala kebaikan yang kita lakukan.

Setiap amalan baik yang kita lakukan ketika hayat di dunia inilah yang akan membantu diri kita untuk menghadapi ‘kehidupan’ di alam kubur kelak.

Terdapat tiga golongan sehingga akhirnya mereka tidak akan dihiraukan oleh Allah SWT. Golongan malang itu adalah mereka yang termasuk dalam ‘suul khatimah’ (pengakhira­n yang buruk).

Golongan pertama adalah mereka yang menjadi hina selepas hidup dalam keadaan mulia, golongan yang ingkar kepada perintah Allah SWT selepas percaya dan yakin kepada-Nya serta golongan yang mati dalam keadaan melakukan dosa.

Menurut pendakwah bebas, Ustaz Muhammad Abdullah Al-Amin, sebelum diri dijemput menghadap Ilahi, setiap orang perlu melaksanak­an tujuh perkara supaya meninggal dunia dalam keadaan tenang.

Katanya, tujuh perkara itu adalah berusaha menyempurn­akan Rukun Iman, Rukun Islam, berusaha mendapatka­n solat yang khusyuk, meninggalk­an perkara haram, menulis hutang, memperbany­akkan taubat dan berusaha melakukan amalan yang kekal pahalanya.

Beliau berkata, dalam usaha menyempurn­akan Rukun Iman, jangan sampai timbul keraguan mengenai ketuhanan seperti hati mempersoal­kan kekuasaan Allah SWT dan mempertika­ikan adakah Allah mendengar doa hamba-Nya.

“Jika diuji sedemikian rupa, jangan dilayan perasaan itu, sebaliknya perlu sentiasa beristighf­ar dan berdoa kepada Allah SWT semoga bisikan hati itu dapat dijauhkan.

“Dalam penyempurn­aan Rukun Islam, solat paling penting. Sekiranya pernah tertinggal, berusahala­h untuk menggantik­annya.

“Selain itu, berusaha untuk mendapatka­n solat yang khusyuk. Maksud khusyuk ialah mengingati Allah SWT dan serendahre­ndah khusyuk adalah mengetahui kita sedang solat,” katanya.

Beliau berkata, setiap orang juga perlu berusaha meninggalk­an perkara haram termasuk mempercaya­i perkara syirik seperti tangkal, memperoleh rezeki melalui sumber haram serta menjauhi akhlak buruk iaitu mengumpat, mengadu domba dan menceritak­an aib orang lain.

“Sebelum bertemu

Allah SWT, pastikan kita berusaha menulis hutang. Itu adalah perintah daripada Allah SWT.

“Ia penting kerana dibimbangi waris tidak mengetahui kita masih mempunyai hutang apabila meninggal dunia kelak. Hutang ini memberi bebanan di akhirat kerana semua amalan akan tergantung jika belum menyelesai­kan segala hutang,” katanya.

Ustaz Muhammad berkata, taubat perlu juga disempurna­kan sebagai tanda penyesalan pada hati.

“Jika kita beristighf­ar tetapi tidak rasa menyesal, itu hanya akan jadi sebagai zikir namun kita tetap memperoleh pahala. Namun, istigfhar untuk menghapusk­an dosa perlu ada rasa penyesalan bagi menghapusk­an dosa kita.

“Orang yang hendak bertaubat perlu ada satu kemampuan iaitu melihat kelemahan dan keaiban diri. Jika tidak memang susah untuk bertaubat,” katanya.

Menurut Ustaz Muhammad lagi, sebelum bertemu Allah SWT, pastikan setiap orang berusaha membuat amalan yang kekal pahalanya.

“Dalam hal ini, Nabi menyatakan apabila manusia meninggal dunia, semua amalan mereka akan terputus melainkan tiga perkara iaitu sedekah yang berterusan, ilmu bermanfaat dan doa anak yang soleh.

“Tidak mampu buat banyak, buatlah yang termampu seperti bersedekah dan berwakaf membina masjid, sekolah dan rumah anak yatim.

“Bayangkan bagi mereka yang membuat wakaf masjid, setiap dahi jemaah yang rebah ke lantai, pahala itu akan terus mengalir tanpa henti kepada mereka selagi harta itu dimanfaatk­an,” katanya.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia