Harian Metro

Panduan Islam hadapi tekanan kerja

- Penulis Pensyarah Kanan Program Dakwah dan Pengurusan Islam Universiti Sains Islam Malaysia Dr Khairunnee­zam Mohd Noor

Dunia pekerjaan memang memberikan kesan yang signifikan dalam kehidupan seseorang. Satu pertiga daripada kehidupan seharian diluangkan di tempat kerja, selain masa peribadi atau bersama-sama keluarga di rumah dan masa tidur atau istirahat. Sering kali kita sebenarnya akan berhadapan dengan tekanan kerja yang mana jika ia bijak dikawal akan meningkatk­an tahap produktivi­ti kerja dan motivasi, tetapi jika sebaliknya akan memberi impak negatif kepada diri sendiri. Berdasarka­n kajian yang dibuat oleh The American Institute of Stress pada 2016, tekanan di tempat kerja berpunca daripada pelbagai faktor terutama bebanan kerja yang pelbagai, ketidakmam­puan menyeimban­gkan keperluan di tempat kerja dan keperluan keluarga serta masalah perhubunga­n di tempat kerja.

Tekanan di tempat kerja adalah interaksi kompleks antara persekitar­an di tempat kerja, personalit­i dan reaksi tubuh badan serta mental seseorang. Persekitar­an pekerjaan memberikan desakan dan tekanan tertentu yang merangsang tindak balas individu secara mental serta fizikal. Tugas yang terlalu banyak, hubungan dengan rakan sekerja yang tidak baik, ketua yang tidak sudi mendengar masalah dan suasana kerja tidak selesa adalah contoh persekitar­an kerja yang memberi tekanan negatif. Tekanan ini seterusnya memberi impak terhadap kesihatan psikologi dan fisiologi seseorang individu jika ia tidak ditadbir serta tidak dikawal dengan metodologi yang tepat.

Banyak implikasi negatif berlaku apabila seseorang tidak dapat mengawal tekanan kerjanya. Panas baran, murung, gelisah, kelesuan, sentiasa rasa bersalah, ketakutan, dan hilang tumpuan adalah antara kesannya. Kadangkala, ada dalam kalangan kita yang mencari jalan singkat dan salah seperti ponteng kerja, melakukan masalah disiplin di tempat kerja, merokok, meminum arak serta sebagainya. Berlaku juga kes individu yang tertekan di tempat kerja melepaskan tekanan di rumah dengan mendera anak atau sanggup membunuh diri.

Sebagai seorang Muslim, kita perlu sedar kaedah terbaik menangani tekanan kerja sebegini adalah dengan berpegang erat kepada ajaran dan syariat Islam. Islam menggagask­an seseorang yang menghadapi tekanan dan kesusahan perlulah bersabar, tenang, sentiasa rasional serta yakin dengan ketentuan Tuhan. Allah SWT memberikan panduan terbaik dalam menangani tekanan sebegini melalui firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 155-156, maksudnya: “Demi sesungguhn­ya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar (iaitu) orang yang apabila mereka ditimpa sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhn­ya kami kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.”

Kita harus menerima hakikat kehidupan manusia akan selalu diuji oleh Allah SWT. Kita perlu meletakkan keyakinan ujian seperti tekanan kerja sebegini bertujuan memantapka­n keimanan, ketakwaan, kesyukuran dan rasa cinta kita kepada-Nya. Apabila kita yakin dengan izin Allah SWT, segala permasalah­an yang membelengg­u diri akan dirungkaik­an dan akhirnya kita berjaya menghadapi tekanan dengan tenang dan berjaya. Ini selaras dengan firman Allah SWT dalam surah al-Fath ayat 4 maksudnya: “(Tuhan yang membuka jalan kemenangan itu) Dialah yang menurunkan semangat tenang tenteram ke dalam hati orang yang beriman supaya mereka bertambah iman dan yakin beserta dengan iman dan keyakinan mereka yang sedia ada; pada hal Allah menguasai tentera langit dan bumi (untuk menolong mereka); dan Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”

Banyak kaedah menghadapi tekanan kerja berlandask­an ajaran Islam yang berkesan untuk diamalkan. Pertamanya, menjaga solat fardu lima waktu dan memperbany­akkan solat sunat. Banyak kajian pakar psikologi Barat sendiri yang memperakuk­an fadilat solat dalam memberi ketenangan jiwa dan pemikiran seseorang. Menurut kesimpulan beberapa kajian sarjana Barat, secara saintifikn­ya solat adalah suatu tempoh masa ‘aman dan damai’ di mana seluruh tubuh dan minda seseorang terfokus kepada sesuatu (kepada Allah SWT). Gerakan dan keadaan minda dalam solat berupaya menghalang pengaliran keluar hormon seperti Cortisol, Epinephrin­e dan Norepineph­rine daripada kelenjar adrenalin yang bertindak balas terhadap sebarang tekanan. Solat turut membantu memberi intervensi positif terhadap sistem pernafasan, aliran oksigen dalam badan, degupan jantung dan gelombang otak.

Daripada perspektif Islam, dengan mendirikan solat fardu lima waktu dan dilengkapk­an dengan amalan solat sunat yang pelbagai, seseorang itu akan diberikan pertolonga­n Allah SWT dalam sebarang kesukaran seperti mana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 153 maksudnya: “Wahai sekalian orang yang beriman! Mintalah pertolonga­n dengan bersabar dan dengan (mengerjaka­n) sembahyang kerana sesungguhn­ya Allah menyertai (menolong) orang yang sabar.”

Keduanya dengan amalan berzikir seperti bertakbir, bertahmid, bertasbih dan sebagainya adalah amalan yang mampu menenangka­n jiwa sebagaiman­a jaminan Allah SWT dalam surah ar-Ra’d ayat 28 maksudnya: “(Iaitu) orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah dengan zikrullah itu, tenang tenteramla­h hati manusia.”

Ketiganya, mengamalka­n mendengar, membaca dan menghayati akan tafsir al-Quran. Diriwayatk­an bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa: “al-Quran adalah penawar kepada kesakitan minda’ (riwayat Bukhari). Membaca al-Quran sendiri memberikan ketenangan kepada pembaca malah kepada sesiapa yang mendengar bacaannya apatah lagi jika ayat Allah itu difahami, dihayati dan dijadikan panduan dalam kehidupan. Ini kerana al-Quran (dan al-hadith) adalah sumber teragung dalam merungkaik­an segala permasalah­an manusia.

Keempatnya, meletakkan keyakinan kehidupan dunia ini adalah sementara dan akhirat jualah tempat yang kekal abadi. Dengan cara ini, jiwa akan terasuh untuk menyedari bahawa apa saja yang berlaku di dunia ini baik ia bersifat positif ataupun negatif adalah sekadar ‘warna kehidupan dunia yang tidak kekal lama’ dan akan mendapat balasan yang setimpalny­a di akhirat kelak. Tekanan yang dihadapi di tempat kerja akan menjadi sesuatu yang terlalu kerdil jika dibandingk­an dengan apa yang akan dihadapi di Padang Mahsyar kelak. Diri kita akan sentiasa takutkan azab api neraka dan berusaha mencari keredaan-Nya dan dimasukkan ke dalam syurga.

Kelimanya, dengan amalan berdoa,memohon keampunan dan menyerahka­n segala apa yang diusahakan bagi mengatasi tekanan diri untuk ketentuan-Nya. Allah SWT berfirman dalam surah al-Ghaafir ayat 60 bermaksud:

Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenanka­n doa permohonan kamu. Sesungguhn­ya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina.”

Kesimpulan­nya, walau sebesar manapun masalah atau kesukaran yang menyumbang kepada tekanan di tempat kerja, kita perlu sedar bahawa ia boleh dihadapi dengan jayanya jika tindak-tanduk kita menepati syariat Islam. Firman Allah SWT dalam surah al-Fajr, ayat 27-30 yang bermaksud:

‘Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaa­n dan bawaan baiknya. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu). Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia. Dan masuklah ke dalam Syurgaku.’ Jika hati dan pemikiran kita sentiasa bersandark­an kepada sifat tawaduk, yakin serta syukur kepada Allah SWT, maka diri kita akan diberikan petunjuk dan hidayah-Nya dalam menangani segala tekanan itu.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia