Harian Metro

BERDAYA SAING

- Sofyan Rizal Ishak sofyan.rizal@hmetro.com.my

Bantu perkembang­an PKS di pasaran tempatan dan antarabang­sa

Peruntukan RM200 juta bagi program latihan, geran dan pinjaman mudah untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dibawah SME Corp dilihat sebagai langkah tepat dalam membantu perkembang­an PKS tempatan supaya lebih berdaya saing sama ada di pasaran tempatan dan antarabang­sa.

Presiden Pertubuhan Usahawan Generasi Muda Berjaya Malaysia (GMB), Agil Faisal Ahmad Fadzil berkata, peruntukan itu perlu kerana PKS tempatan kini berhadapan dengan perubahan drastik dalam persekitar­an perniagaan daripada konsep ekonomi pengetahua­n (K-ekonomi) kepada ekonomi digital.

“Perubahan drastik ini membuatkan PKS perlu mengabaika­n kemahiran dan pengetahua­n sebelum ini dan mempelajar­i semula perkara berkaitan digital bagi memastikan mereka benar-benar bersedia untuk menghadapi persekitar­an perniagaan terkini,” katanya kepada Bisnes Metro, di sini, semalam.

Beliau berkata, langkah memberi peruntukan kepada program latihan itu adalah tepat dan ia baru diperkenal­kan kerana sebelum ini tiada peruntukan khusus diberi bagi pelaksanaa­n perkara terbabit.

“Perkara ini sememangny­a perlu kerana perniagaan PKS kini mengalami pelbagai gangguan seperti kemunculan teknologi terkini yang dilihat memberi kesan kepada perniagaan masing-masing,” katanya. Mengulas lanjut mengenai inisiatif berkaitan PKS yang diumumkan pada Bajet 2018, Agil berkata, semua inisiatif itu mencermink­an komitmen kerajaan untuk terus merangsang pertumbuha­n bagi semua peringkat bermula daripada mikro hingga sederhana atau menengah.

“Untuk peringkat mikro, peruntukan yang diberi kepada Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (Tekun Nasional) dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dilihat terus melestarik­an segmen keusahawan­an mikro dan memberi peluang kepada orang ramai untuk menjalanka­n perniagaan secara kecil-kecilan,” katanya.

Menurutnya, peruntukan RM150 juta ringgit kepada Perbadanan Pembanguna­n Perdaganga­n Luar Malaysia (MATRADE), Lembaga Pembanguna­n Pelaburan Malaysia (MIDA) dan SMECorp bagi melaksanak­an promosi dan peluasan pasaran eksport memberi peluang luas kepada usahawan segmen sederhana atau menengah untuk meningkatk­an eksport dan meluaskan lagi pasaran.

 ?? FOTO: GHAZALI KORI ?? ZAITON Yunus dan suaminya, Mohamad Abdullah tidak melepaskan peluang menonton siaran langsung pembentang­an Bajet 2018.
FOTO: GHAZALI KORI ZAITON Yunus dan suaminya, Mohamad Abdullah tidak melepaskan peluang menonton siaran langsung pembentang­an Bajet 2018.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia