Galak pertumbuhan e-dagang
Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ), yang diumumkan pada 22 Mac lalu di Kuala Lumpur adalah pasaran perdagangan digital pertama di dunia di luar China.
DFTZ adalah inisiatif di bawah Strategi Pelan Hala Tuju Strategik e-Dagang Kebangsaan yang bermatlamat untuk menggandakan pertumbuhan e-dagang Malaysia daripada 10.8 peratus setahun kepada 20.8 peratus dan meningkatkan sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM211 bilion menjelang 2020.
DFTZ akan memudahkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengeksport produk ke peringkat global serta menyediakan pemain pasaran kepada keadaan urus niaga e-dagang yang holistik.
Persekitaran itu dapat dilaksanakan melalui lokasi strategik yang dilengkapi dengan kemudahan bertaraf dunia, platform e-perkhidmatan bersepadu untuk mengakses penyedia perkhidmatan global terkemuka, proses pengawalseliaan yang lebih baik untuk meningkatkan kecekapan serta pelepasan kastam dan kargo.
DFTZ juga membolehkan pemain pasaran global mendapatkan sumber daripada pengeluar atau penjual di Malaysia dan menjadikan Malaysia sebagai hab bagi memenuhi permintaan jenama global.
Berikutan itu, kerajaan berhasrat menarik 1,500 PKS menyertai platform DFTZ menjelang akhir tahun ini dan sebanyak 8,000 PKS pada 2018.
Selain itu, DFTZ dijangka meningkatkan sumbangan PKS kepada KDNK melebihi 60 peratus, mewujudkan 60,000 pekerjaan dan menggandakan eksport
PKS kepada RM162.9 bilion menjelang 2025.