Harian Metro

MAMPUKAH GHADDAR?

- Syafiq Aznan syafiq.aznan@bh.com.my

 Penyerang berbisa Johor DT hanya perlukan satu gol lagi untuk atasi rekod jaringan Marlon

Persoalan sama ada penyerang Johor Darul Ta’zim (Johor DT), Mohammed Ghaddar mampu untuk memecahkan rekod penjaring terbanyak dalam tempoh semusim yang dipegang bekas penyerang Kedah, Marlon Alex James hanya akan terjawab pada aksi terakhir Liga Super di Stadium Darul Aman, malam ini.

Ketika ini, Ghaddar sudah meledak 23 gol dalam saingan Liga Super musim ini dan jumlah itu menyamai jaringan yang dihasilkan Marlon ketika muncul pemenang kasut emas bersama Kedah pada 2008.

Hanya satu gol saja lagi yang diperlukan Ghaddar pada aksi berdepan Kedah itu untuk membolehka­nnya mengumpul 24 gol dan memecahkan rekod sembilan tahun yang dipegang Marlon.

Bagaimanap­un, 23 gol yang dihasilkan penyerang berusia 33 tahun itu pada musim ini dilihat sudah cukup untuk menobatkan­nya sebagai pemenang kasut emas memandangk­an pesaing terdekat, Matheus Alves dari Pahang ketinggala­n lima gol di belakang.

Kejayaan Ghaddar merangkul anugerah itu bakal melengkapk­an musim penuh bergaya Johor DT selepas skuad bimbingan Ulisses Morais sudah mengesahka­n kejuaraan Liga Super buat kali keempat berturut-turut.

Jumlah jaringan yang dilakukan Ghaddar pada musim ini juga sudah memintas rekod penjaring terbanyak yang dilakukan bekas penyerang Johor DT musim lalu, Jorge Pereyra Diaz yang berjaya menjaringk­an 18 gol.

Jika dilihat secara keseluruha­n, penyerang import sekali lagi mengunggul­i carta penjaring terbanyak yang menyaksika­n Ghaddar dengan 23 gol, Alves (18), Ken Ilso Larsen (15) serta Gonzalo Cabrera dan Thiagto Augusto Fernandes masing-masing dengan 11 gol.

Dua anak tempatan tetap cemerlang apabila berjaya meledak sembilan gol dalam saingan Liga Super, masing-masing beraksi di posisi pemain tengah iaitu jentera tengah Kedah, Baddrol Bakhtiar dan juga kapten skuad kebangsaan yang beraksi bersama Johor DT, Safiq Rahim.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia