Harian Metro

‘Skuad rahsia’ layan Kedah

- Rizar Mohd Noor rizar@mediaprima.com.my

Johor Bahru: Ketika Kedah dijangka menurunkan barisan kedua, Johor Darul Ta’zim (Johor DT) masih berahsia mengenai kesebelasa­n utama pada pertembung­an yang dianggap ‘prafinal’ dan aksi terakhir Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam ini.

Persoalan sama ada skuad Harimau Selatan bakal menurunkan gandingan import Gabriel Guerra, Gonzalo Cabrera dan Mohammed Ghaddar atau merehatkan ketiga-tiganya bagi aksi final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, 4 November ini, masih menjadi tanda tanya.

Bagi pengendali Johor DT, Ulisses Morais setiap perlawanan yang diharungi tidak kira saingan liga atau Piala Malaysia amat penting buat skuad Harimau Selatan dan kemenangan menjadi buruan apatah lagi ia aksi terakhir liga.

Katanya, final Piala Malaysia berbaki seminggu lagi dan beliau enggan terlalu memikirkan pertembung­an itu memandangk­an aksi liga tetap penting bagi menamatkan saingan dengan kemenangan.

“Kami ada 28 pemain yang memiliki kualiti setaraf dan ingin saya katakan lagi dalam skuad Johor DT tiada pasukan utama atau kedua, semua pemain bersama pasukan ini adalah yang terbaik dan mampu beraksi dalam skuad utama.

“Persiapan kami sama ada untuk aksi liga mahupun final Piala Malaysia berjalan lancar dan paling mustahak tiada pemain yang mengalami kecederaan dan akan turun menentang Kedah dengan barisan terkuat.

“Mungkin ramai yang melabelkan ia perlawanan ‘prafinal’ Piala Malaysia, namun bagi saya ia berbeza kerana saingan liga kami inginkan tiga mata terakhir sebelum saingan melabuhkan tirainya, manakala final Piala Malaysia, ia perlawanan 90 minit yang mendebarka­n kerana masing-masing ingin menjulang kejuaraan,” katanya.

Morais menegaskan, Kedah pasukan berkualiti apatah lagi Johor DT beraksi di laman lawan yang sememangny­a memiliki aura tersendiri, namun akan memberi tentangan sengit bagi memburu kemenangan pada aksi terakhir itu.

“Kemenangan ke atas Kedah juga akan mencetus motivasi tinggi kepada setiap pemain bagi persiapan mengharung­i final piala dan saya jangkakan aksi terakhir liga lebih menarik dengan corak permainan taktikal yang mantap akan ditonjolka­n Johor DT dan Kedah,” jelas Morais.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia