Harian Metro

Rakan ingat pertemuan terakhir

-

Kuala Lumpur: “Walaupun saya berkeras tidak membenarka­n dia teruskan pendakian, tetapi hati dia tetap kental untuk naik. Akhirnya saya akur turun seorang diri,” itu kata Rozaimi Mohd Said, 41, pendaki terakhir yang bertemu dengan Ramli Abd Majid, 46, pendaki negara yang hampir setahun hilang di Gunung Damavand, Iran.

Jumaat lalu, mayat Ramli dijumpai selepas dilaporkan hilang ketika mendaki gunung terletak di utara Iran itu pada 20 November tahun lalu, menurut agensi berita IRNA.

Laporan itu turut menyebut, penemuan mayat terbabit dimaklumka­n kepada Jabatan Bulan Sabit Merah di bandaraya Amol yang menghantar pasukan mencari.

Rozaimi berkata, pertemuan terakhirny­a bersama Ramli dan Syed Redzuan masih segar dalam ingatan dan mereka bertiga sepatutnya turun daripada pendakian bersama-sama.

“Kami semua seramai 12 pendaki, tetapi ramai yang naik separuh pendakian saja. Saya dan Syed antara yang paling hadapan, selepas tiba di satu check

point kira-kira 5,200 meter, kami turun pada jam 2 petang kerana waktu itu memang sepatutnya kena turun.

“Ketika kami turun, kami terserempa­k dengan Ramli yang sedang meneruskan pendakian dan mahu ke puncak lalu Syed menyatakan mahu menemani Ramli,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Seorang lagi rakan pendakian, Majdi Mohammad, 37, menyifatka­n Ramli sebagai individu yang bermotivas­i, penghibur suasana dan memegang prinsip ‘tiada yang mustahil’.

Katanya, meskipun Ramli antara pendaki yang berada di belakang, dia adalah individu yang tidak mengalah untuk meneruskan pendakian sehingga berhasrat untuk tiba di puncak.

“Ramai antara kami yang turun akan bertembung dengannya yang sedang teruskan pendakian. Ketika berjumpa dengannya, dia sempat berpesan kepada saya supaya buat sesuatu keputusan dengan mengikut naluri hati.

“Dia beri semangat dan motivasi kepada saya serta menyatakan akan menemani saya jika mahu ke puncak. Dia sempat memberi saya minuman, roti dan ubat untuk memberi kekuatan kepada saya namun saya memilih untuk turun,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia