Harian Metro

Cubaan lolos rempuh kereta polis gagal

-

Shah Alam: Tindakan dua penjenayah melanggar kereta polis dalam usaha meloloskan diri mengundang padah apabila dicekup dan seorang daripadany­a cedera terkena tembakan di paha kanan dalam aksi mengejar di sekitar daerah ini, kelmarin.

Difahamkan, pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Negeri Sembilan menjalanka­n siasatan berkaitan suspek kes samun dengan memerhatik­an sebuah kereta Toyota Vios yang diletakkan di tempat letak kereta sebuah kondominiu­m di Seksyen 14, di sini, jam 1 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, menyedari kehadiran polis, dua lelaki yang menaiki kereta itu bertindak memecut laju dan melanggar kenderaan polis, jam 2.30 petang.

“Keadaan itu menyebabka­n tembakan terpaksa dilepaskan bagi mempertaha­nkan diri kerana suspek berterusan melanggar kereta polis.

“Polis mengejar mereka hingga Seksyen 7 sebelum suspek memberhent­ikan kereta itu sebelum keluar melarikan diri,” katanya.

Menurut beliau, kedua-dua suspek berusia 31 dan 35 tahun termasuk yang cedera terkena tembakan bagaimanap­un berjaya ditahan bagi membantu siasatan.

Kata Shafien, siasatan lanjut kemudian membawa kepada penahanan dua lagi suspek iaitu lelaki dan wanita berusia 22 serta 32 tahun di kondominiu­m terdahulu.

“Selain itu, polis menemui tiga pistol tiruan dan beberapa telefon bimbit dipercayai hasil samun.

“Suspek yang cedera dibawa ke Hospital Shah Alam untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia