Harian Metro

Beralih tempat untuk solat rawatib

- Sumber: Al-Kafi Li Al-Fatawi, Pejabat Mufti Wilayah Persekutua­n

Adakah perlu beralih tempat dari tempat solat fardu untuk melakukan solat sunat rawatib?

Dalam kitab Sahih Muslim, ada riwayat menyebut pesanan Muawiyah RA kepada al-Sa’ib Ibn Ukh Namir maksudnya: “Jika engkau solat Jumaat, maka janganlah engkau sambung dengan suatu solat

(nafilah) sehingga engkau berkata-kata (dengan seseorang) atau engkau keluar kerana Rasulullah SAW menyuruh kami melakukan hal itu, yakni tidak disambung solat dengan solat sehingga seseorang itu berkata-kata atau keluar.” (Riwayat Muslim)

Imam al-Nawawi dalam kitabnya, al-Minhaj Syarah Sahih Muslim (6/171) berkata: “Ini adalah dalil pada mana disebutkan oleh fuqaha’ al-Syafieyyah bahawa sebelum ditunaikan sunat rawatib dan selainnya adalah disunatkan untuk beralih dari tempat ditunaikan solat fardu ke tempat yang lain dan yang paling afdal ialah beralih menunaikan solat di rumah dan melainkan tempat lain yang dimaksudka­n itu adalah masjid atau selain masjid supaya diperbanya­kkan tempat sujud. Ini kerana untuk memisahkan antara pelaksanaa­n solat fardu dengan solat sunat.”

Imam al-Nawawi juga menyebut dibolehkan dengan hanya berbicara kerana ia menunjukka­n pemisahan antara kedua-dua solat fardu dan sunat.

Namun, beralih atau berpindah tempat adalah lebih afdal seperti disebutkan sebelum ini.

Imam al-Ramli dalam Nihayah al-Muhtaj (1/552) berkata: “Dan adalah disunatkan untuk beralih tempat bagi menunaikan solat sunat atau fardu dari tempat yang ditunaikan solat fardu atau solat sunat ke tempat yang lain supaya diperbanya­kkan tempat sujud.

“Ini kerana banyaknya tempat sujud akan menjadi saksi (di akhirat kelak) dan untuk menghidupk­an tanah (tempat sujud) dengan ibadat.

“Sekiranya tidak berpindah ke tempat lain boleh dilakukan dengan bercakap atau berbicara sesama manusia.”

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia