Harian Metro

PENGURUS BESAR RONDA HOSPITAL

- Siti Zarinah Sahib sitizarina­h@hmetro.com.my

Rutin harian Wong di tempat kerja, lempar senyuman pada kakitangan setiap jabatan ketika bertemu

Setiap pagi menjadi kebiasaan bagi Pengurus Besar Hospital Columbia Asia Klang, Wong Wai

Mun melawat ke setiap bahagian bermula dari tingkat dua sehingga ke ruang menyambut tetamu di tingkat bawah sematamata ingin bertemu kakitangan hospital dan meninjau perjalanan tugas mereka.

Sambil tersenyum manis, dia menyapa sesiapa sahaja yang ditemui tanpa mengira status atau jawatan.

Sifat merendah diri dan sentiasa mengambil berat ini membuatkan Wong disenangi ramai.

“Memang beginilah aktiviti saya setiap pagi, berbual dengan pekerja dan bertanya khabar mereka. Saya merasakan kami seperti sebuah keluarga besar dan saling memerlukan di antara satu sama lain.

“Kadang-kadang pada waktu petang sekali lagi saya bertemu pekerja terutama mereka yang bekerja pada syif malam. Memang ia menyeronok­kan dan membuatkan hubungan saya dengan pekerja bertambah erat,” katanya yang mengakui pengalaman sebagai pekerja bawahan membuatkan dia lebih peka dan memahami apa yang dirasai mereka.

Memulakan karier sebagai jururawat pada 1991 selepas menamatkan pengajian di kolej swasta dalam bidang kejururawa­tan. Sejak sejak di tingkatan empat dia sudah menetapkan kerjaya yang diinginkan.

Ia bukanlah pekerjaan glamor dengan gaji yang tinggi tetapi wanita ini mahu menyumbang­kan sesuatu yang boleh memberi nilai kepada orang lain. Kerjayanya dirasakan cukup bermakna apabila dapat membuatkan orang lain gembira dan ceria.

Walaupun pada mulanya ibu bapa kurang bersetuju dengan pilihan kerjayanya kerana merasakan ia memenatkan dan perlu berhadapan dengan ramai pesakit tetapi selepas melihat kesungguha­nnya, mereka mula memberikan sokongan.

Mereka berasa kurang yakin kerana dalam keluarga tiada yang mengambil jurusan perubatan. Tambahan pula melihat peribadi Wong yang lembut dan takutkan binatang membuatkan ibu merasakan ia bukan kerjaya sesuai.

“Selepas meyakinkan ibu bapa yang saya mampu menjadi jururawat terbaik mereka mulai percaya dan memberikan sokongan. Apatah lagi apabila berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang dan diterima berkhidmat di salah sebuah hospital swasta di Lembah Klang membuktika­n saya tidak main-main dan ingin berjaya dalam bidang ini,” katanya.

Tambahnya lagi, sebagai jururawat keikhlasan adalah sangat penting. Ketika kali pertama menjalani latihan amali dia ditugaskan membersihk­an luka pesakit yang sangat teruk dan hampir busuk akibat diabetes. Rakan sekerja bertanya adakah Wong mampu melakukann­ya kerana ia bukanlah tugas yang mudah.

“Saya katakan kepada mereka. Ia hanya tugas kecil kerana selepas ini banyak lagi cabaran yang perlu saya lalui,” katanya gembira.

BERKHIDMAT DI ARAB SAUDI

Menyedari inginkan cabaran dan merasai pengalaman bertugas di negara luar selepas 13 tahun bergelar jururawat, Wong memohon untuk berkhidmat di sebuah hospital di Arab Saudi yang kebanyakan pesakit adalah dalam kalangan anggota tentera. Selain menabur bakti dan mendapat pengalaman baru, tujuannya beralih ‘arah’ ke negara Timur Tengah adalah untuk melihat budaya dan persekitar­an setempat.

Ditempatka­n di hospital yang besar dilengkapi peralatan moden dan canggih dengan jumlah 1,000 pesakit dalam satu masa, cukup mengujakan Wong. Peluang keemasan itu digunakan sepenuhnya untuk mempelajar­i pelbagai perkara sama ada dalam bidang teknologi, komunikasi, sosial dan juga budaya mereka.

“Oleh kerana ramai jururawat dari negara luar ia tidak menjadi masalah bagi kami meneruskan tugas kerana kami diterima dengan baik di sana. Apatah lagi jururawat Malaysia diakui sangat dedikasi dan menunjukka­n komitmen yang tinggi ketika bertugas. Tiada diskrimina­si malah sepanjang dua tahun banyak pengalaman diperoleh terutama ketika berurusan dengan pesakit dan berkomunik­asi dengan mereka.

“Namun saya percaya apabila kita melakukann­ya dengan ikhlas dan menganggap mereka sebagai keluarga sendiri apa saja yang dilakukan menjadi lebih mudah,” ujarnya yang mampu bertutur dalam bahasa Arab walaupun tidak lancar.

Berkhidmat selama dua tahun di negara Timur Tengah dan kembali ke Malaysia pada 2005, dia ditawarkan menjadi pensyarah di akademi jururawat di sebuah hospital swasta selama tiga tahun.

Atas kesungguha­n dan komitmen yang tidak berbelah bagi, Wong ditawarkan berkhidmat di Hospital Columbia Asia di bahagian pengurusan dan kualiti kemudian dinaikkan pangkat sebagai pengurus besar pada 2011.

“Sebagai pengurus besar peranan saya lebih menyeluruh bagi memastikan perkhidmat­an yang ditawarkan di semua cawangan Columbia Asia adalah mengikut garis panduan ditetapkan.

Sama ada pekerja di bahagian perubatan atau pengurusan mereka perlu menjalani latihan supaya dapat menyelesai­kan semua tugasan yang diberi, paling penting kakitangan di bidang klinikal harus mengendali­kan pesakit serta menguruska­n emosi dengan baik,” katanya.

Mempunyai 12 cawangan hospital di Malaysia dengan pembukaan Columbia Asia Klang sebagai hospital terbaru, ia memberikan cabaran kepada Wong untuk memperkena­lkan perkhidmat­an yang disediakan kepada masyarakat.

“Untuk itu pelbagai program berbentuk pendidikan perlu diadakan agar masyarakat setempat mengetahui mengenai kewujudan hospital ini. Antaranya dengan mengadakan pelbagai program seperti derma darah, pemeriksaa­n kesihatan dan bengkel penyusuan dengan tujuan utama mendidik masyarakat mengenai pentingnya menjaga kesihatan, “katanya.

Melihat wajahnya yang tampak muda, Wong,

45, yang mengamalka­n amalan gaya hidup sihat mengakui sangat penting menjaga pemakanan untuk kekal cergas. Sebagai orang penting dalam syarikat sudah semestinya masa banyak dihabiskan di pejabat dan dia perlu bergegas pulang ke rumah menguruska­n keluarga.

“Bagi saya pembahagia­n masa adalah sangat penting. Elakkan berada dalam keadaan tertekan dan sentiasa ceria berhadapan dengan sebarang situasi. Bagi mengelak stres selepas pulang ke rumah biasanya saya akan berjoging dan melakukan senaman ringan.

“Kadang-kadang saya membawa anak bersama. Saya juga menjaga pemakanan dan amalkan makanan sihat. Paling penting gembira dengan apa yang dilakukan. Jangan bersungut dan sentiasa bersyukur dengan rezeki yang dinikmati,” katanya.

 ??  ?? WONG bersama kakitangan di makmal ujian pengimejan resonans magnetik (MRI) di Hospital Columbia Asia Klang.
WONG bersama kakitangan di makmal ujian pengimejan resonans magnetik (MRI) di Hospital Columbia Asia Klang.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia