Harian Metro

‘Tunggu dulu Marquez’

 Juara MotoGP dunia bakal ditentukan di Valencia

- Khairil S Iswan, Saiful Affendy Sapran & Fadhli Ishak sukanteam@nstp.com.my

Andrea Dovizioso mengheret persaingan merebut kejuaraan dunia MotoGP dengan Marc Marquez ke pusingan terakhir di Valencia, Sepanyol apabila menjuarai perlumbaan Grand Prix (GP) Malaysia, semalam.

Memulakan aksi di petak ketiga, pelumba Ducati itu mengambil pendekatan lebih tenang dalam perlumbaan yang berlangsun­g dalam keadaan litar basah apabila hanya mula memimpin perlumbaan ketika persaingan berbaki empat pusingan.

Selepas memintas rakan sepasukann­ya, Jorge Lorenzo susulan kesilapan di selekoh terakhir, Dovizioso tidak lagi menoleh ke belakang untuk merangkul kemenangan keenamnya musim ini dan merapatkan jurang dengan Marquez kepada 21 mata.

Pelumba Repsol Honda, Marquez yang cuba bangkit di awal perlumbaan terpaksa akur apabila menamatkan perlumbaan di Litar Antarabang­sa Sepang (SIC) di tangga keempat.

Turut menjuarai perlumbaan GP Malaysia tahun lalu, Dovizioso melepasi garisan penamat dengan catatan 44 minit 51.497 saat (s), diikuti rakan sepasukann­ya, Lorenzo yang ketinggala­n 0.743s dan pelumba Perancis, Johann Zarco (MonsterYam­aha Tech3) untuk melengkapk­an kedudukan podium.

“Memang ada kebimbanga­n (Lorenzo menang) kerana dia sentiasa memberi tekanan tetapi saya memiliki kelajuan yang baik, jadi saya berjaya mengawalny­a,” kata Dovizioso.

“Keadaan suhu juga amat rendah kali ini dan kami banyak bergelut dan kehilangan kawalan di bahagian depan beberapa kali.

“Ia sukar tetapi jentera kami berfungsi dengan baik ketika keadaan litar basah dan ia minggu sempurna dan terima kasih kepada pasukan kerana bekerja keras.”

Lorenzo dalam pada itu tidak menghirauk­an spekulasi mengenai terdapat arahan daripada pasukan untuk memberikan kemenangan kepada Dovizioso.

“Kamu tahu kami sukar mendapatka­n perlumbaan yang konsisten dan saya juga berdepan masalah dengan bahagian depan. Saya mula membrek dengan kuat ketika laluan lurus, jadi itu sebabnya Dovi memintas saya.

“Saya cuba memberi tekanan selepas itu, namun gagal memintasny­a tetapi tidak mengapa kerana satu lagi podium bagi saya sudah baik.”

Dani Pedrosa yang memulakan perlumbaan di petak utama menamatkan perlumbaan di tangga kelima diikuti Danilo Petrucci, manakala juara dunia sembilan kali dan legenda Itali, Valentino Rossi berada di tangga ketujuh.

Keputusan di Sepang menyaksika­n Marquez terpaksa menunggu sehingga perlumbaan di Valencia, 12 November ini untuk menjuarai gelaran dunia keempatnya dalam kelas MotoGP.

 ??  ?? DOVIZIOSO menjulang trofi kejuaraan MotoGP di Sepang, semalam
DOVIZIOSO menjulang trofi kejuaraan MotoGP di Sepang, semalam

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia