Harian Metro

‘Siapa juara dia raja’

- Aziman Rosdi aziman@hmetro.com.my

 Rizal anggap pertembung­an final Johor DT, Kedah jadi penentu pasukan terbaik tanah air

Bekas pemain Johor, Rizal Sukiman menganggap pertembung­an Johor Darul Ta’zim (Johor DT) dengan Kedah pada final Piala Malaysia, Sabtu ini bukan sekadar kejuaraan semata-mata.

Sebaliknya, beliau menganggap pertemuan skuad juara Liga Super, Johor DT dan juara Piala FA, Kedah itu bakal menentukan status kuasa bola sepak di Malaysia.

“Pada saya, ini bukan sekadar final sebaliknya ia berkaitan dengan kuasa bola sepak di Malaysia. Johor DT juara Liga Super dan Kedah juara Piala FA dan pada saya siapa yang menang final ini nanti, mereka adalah raja bola sepak di negara kita,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

Rizal, 45, adalah antara pemain dalam skuad juara Piala Malaysia Johor pada 1991 dengan menewaskan Selangor 3-1 pada perlawanan akhir di Stadium Merdeka.

Dan itu adalah kali terakhir trofi berprestij itu

singgah ke bumi Johor selepas usaha Johor DT dihalang Pahang pada final 2014 dengan kekalahan menerusi sepakan penalti 3-5 selepas aksi terikat 1-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Rizal yang turut membantu Johor menjulang trofi Piala FA 1998 berkata, peluang Johor DT untuk merampas kejuaraan daripada Kedah adalah cerah berdasarka­n prestasi semasa.

“Kalau pemain Johor DT bermain di tahap terbaik mereka, tiada pasukan di Malaysia yang boleh menewaskan mereka kerana itu saya menganggap peluang mereka untuk menang di final ini 60-40.

“Pada saya pemain Johor DT tidak perlu bimbang memikirkan kekuatan pasukan lawan, sebaliknya hanya fokus untuk beri aksi terbaik mereka,” kata bekas pemain kebangsaan itu.

Ini kali kedua skuad Harimau Selatan bertemu Kedah bagi perebutan piala tahun ini apabila mereka tewas pada aksi Piala Sumbangsih Januari lalu menerusi penentuan sepakan penalti 4-5 selepas permainan terikat 1-1.

 ?? FOTO: MOHD AZREN JAMALUDIN ?? PASUKAN Johor DT menjalani latihan persiapan aksi final Piala Malaysia, di Stadium Padang Seri Gelam.
FOTO: MOHD AZREN JAMALUDIN PASUKAN Johor DT menjalani latihan persiapan aksi final Piala Malaysia, di Stadium Padang Seri Gelam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia