Harian Metro

TRAGEDI TEMBUNG AMBULANS

- Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi am@hmetro.com.my

 Adik maut, kakak parah motosikal bertembung ambulans

Seorang kanak-kanak lelaki maut manakala kakaknya parah selepas motosikal yang mereka naiki bertembung dengan sebuah ambulans di Jalan Kampung Senduk Tengah, Changkat Jering di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi itu, mangsa, Ahmad Hazim Ahmad Nazir, 11, yang juga pembonceng motosikal Modenas Kriss itu meninggal dunia di tempat kejadian manakala kakaknya, Anira Husna Ahmad Nazir, 12, parah.

Difahamkan, kejadian itu turut mengakibat­kan pemandu serta jururawat yang berada dalam ambulans berkenaan cedera akibat melanggar tiang elektrik selepas bertembung dengan motosikal mangsa.

Ketua Polis Daerah Taiping Asisten Komisioner Harrith Kam Abdullah berkata, siasatan awal mendapati ambulans berkenaan dari Klinik Kesihatan Changkat Jering menghala ke Kampung Senduk untuk mengambil pesakit.

Menurutnya, motosikal dinaiki kedua-dua kanak-kanak itu dipercayai tiba-tiba keluar dari simpang kiri menghala ke Changkat Ibol menyebabka­n kedua-dua kenderaan itu bertembung.

“Kedua-dua kanak-kanak itu tidak memakai topi keledar dan dipercayai menaiki motosikal itu untuk ke kedai berdekatan jalan besar, kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian.

“Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Taiping dan hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan parah pada beberapa bahagian badan akibat kemalangan,” katanya.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41, Akta Pengangkut­an Jalan 1987 bagi mengetahui punca sebenar kemalangan.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping Izuan Che Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 11.11 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, sebaik tiba, pihaknya mendapati mangsa yang juga seorang kanak-kanak sudah meninggal dunia dipercayai terperosok di bawah ambulans dan berjaya dikeluarka­n orang awam.

 ??  ??
 ??  ?? KEADAAN motosikal dan ambulans di lokasi nahas.
KEADAAN motosikal dan ambulans di lokasi nahas.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia