Harian Metro

Datuk Seri pukul anggota RELA positif dadah

-

Kuala Lumpur: Lelaki bergelar Datuk Seri yang didakwa memukul tiga anggota Jabatan Sukarelawa­n Malaysia (RELA) didapati positif dadah ketika saringan awal ujian air kencing.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, pihaknya turut mendapati suspek memiliki satu rekod kerana kesalahan dadah.

“Polis menyemak rekod lalu dan mendapati suspek positif ujian air kencing.

“Tindakan akan diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya,” katanya sejurus Majlis Sambutan Deepavali di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, semalam.

Mengulas dakwaan gambar tersebar kononnya Datuk Seri terbabit memiliki senjata api, Noor Rashid berkata, sehingga kini pihaknya tidak menerima laporan berhubung perkara itu.

“Namun sekiranya suspek didapati memiliki (senjata api) tindakan sewajarnya akan diambil.

“Seseorang itu dibenarkan memiliki lesen untuk menjaga keselamata­n diri namun jika ia boleh membahayak­an keselamata­n orang lain, atas budi bicara Ketua Polis Negara, lesen itu ditarik balik dan tindakan sewajarnya diambil.

“Dalam pada itu, polis turut menjalanka­n siasatan dan menyemak berhubung gelaran Datuk Seri diterima suspek,” katanya.

Kelmarin, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat mengesahka­n Datuk Seri terbabit direman empat hari sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan.

Jumaat lalu, tiga anggota RELA yang bertugas menjalanka­n kawalan keselamata­n bagi upacara keagamaan di tokong di Jalan Ampang di sini, dibelasah individu bergelar Datuk Seri selepas diminta mengalihka­n kenderaan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia