Harian Metro

Gusar ular selinap masuk ketika bah

-

Kuala Nerus: “Kami sudah biasa dengan barangan rumah rosak akibat banjir tetapi lebih bimbang jika ada ular menyelinap masuk ketika air naik,” kata Hasnah Syafie, 51, dari Kampung Mengabang Telung, di sini.

Wanita terbabit dan keluargany­a antara mangsa kediaman dinaiki air dua hari lalu selepas hujan berterusan melanda kawasan berkenaan sehari sebelum itu.

Hasnah berkata, pernah ada ular sawa enam meter menyelinap masuk ke rumahnya dalam banjir melanda empat tahun lalu.

“Jika diingatkan kembali kejadian itu, kami sekeluarga bimbang ia berulang setiap kali rumah dinaiki air.

“Sekiranya air tinggi, kami tidak berani mengharung­inya kerana di kawasan sekitar rumah memang ada banyak reptilia berbisa.

“Biasanya dalam setahun, tiga kali rumah kami dilanda banjir kerana sistem perparitan yang ada tidak mampu menampung aliran air hujan di kawasan ini,” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurutnya, dia menjangkak­an kejadian yang sama akan berulang dalam tempoh terdekat dan barang berharga termasuk peralatan elektrik sudah dialihkan ke tempat tinggi dan selamat.

“Sekiranya hujan berterusan selama dua hingga tiga jam, rumah akan dinaiki air paling kurang pada paras betis.

“Sejak 10 tahun lalu, masalah ini sentiasa membelengg­u kehidupan kami sekeluarga dan banyak kerugian dialami ,” katanya.

Anaknya, Nor Farahana, 16, pula berkata, dia pernah dipatuk ular air dua tahun lalu ketika rumahnya dinaiki air.

“Pengalaman itu membuatkan saya lebih berhati-hati ketika mengharung­i air yang bertakung di kawasan sekitar rumah.

“Saya bernasib baik kerana kejadian itu tidak serius dan cepat mendapatka­n rawatan di Klinik Kesihatan Batu Rakit,” katanya.

Sementara itu, Baharudin Ramli, 56, berkata, dia tinggal di rumah itu bersama isteri, anak dan bapa mentuanya, Ramli Yusof, 80.

“Kami sebenarnya sudah tidak larat untuk menghadapi masalah yang sama setiap tahun dan berharap pihak bertanggun­gjawab dapat bertindak untuk menyelesai­kannya.

“Rumah ini satu-satunya tempat yang ada untuk kami berteduh dan tiada pilihan, selain tinggal di sini walaupun kerap menghadapi banjir,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia