Harian Metro

Bunuh sepupu

- Mohamad Azim Fitri Abd Aziz azimfitri@hmetro.com.my

 Pencuci kereta berdepan hukuman gantung

Pencuci kereta berdepan hukuman gantung sampai mati selepas didakwa membunuh sepupunya di Taman Temerloh Makmur, di sini, 21 Oktober lalu.

Tertuduh, Iskandar Zulkarnain Zolkifli, 26, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Temerloh, semalam, atas pertuduhan membunuh Robiatul Ain Mohamod, 27, di rumah bernombor 23, Jalan Temerloh Makmur 3, Taman Temerloh Makmur, antara jam 8.30 malam hingga jam 9 malam.

Bagaimanap­un, tiada sebarang pengakuan direkodkan selepas kertas pertuduhan dibacakan kepadanya di depan Majistret Najwa Hashim.

Prosiding pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Inspektor Irmawathy Mohamad Yusof, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Najwa kemudian menetapkan 18 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan tiada tawaran ikat jamin diberikan kepada tertuduh.

Media sebelum ini melaporkan, Robiatul Ain ditemui tertiarap di ruang tamu rumahnya selepas ditikam di muka dan bahu selepas dikatakan bertengkar dengan tertuduh. Kejadian dipercayai berpunca selepas berlaku pertengkar­an antara mangsa dan tertuduh apabila mangsa menuduh lelaki berkenaan mencuri.

Siasatan polis menemui pisau dan gunting dipercayai senjata yang digunakan Iskandar Zulkarnain untuk membunuh mangsa dalam kejadian itu.

Pada prosiding sama, Iskandar Zulkarnain mengaku bersalah atas tuduhan memasukkan dadah jenis morfin ke dalam badannya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh pada 22 Oktober lalu dan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

 ??  ?? ISKANDAR Zulkarnain dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Temerloh.
ISKANDAR Zulkarnain dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Temerloh.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia