Harian Metro

‘Depa tak mahu, kita ambil’

-

Alor Setar: “Kalau mereka tidak begitu ambil perhatian sangat, kita ambillah (Piala Malaysia),” kata kapten pasukan Kedah, Khairul Helmi Johari.

Pertahanan tengah skuad kebangsaan itu menegaskan setiap piala yang dipertandi­ngkan adalah begitu bermakna sekaligus membuatkan Kedah begitu ‘bernafsu’ pada pentas final ini apatah lagi mereka turun dengan status penyandang juara dan mahu mempertaha­nkan trofi berprestij itu di bumi Kedah.

Katanya, selepas mengharung­i pelbagai cabaran untuk mara sehingga ke perlawanan akhir buat tiga tahun berturut-turut, mereka seharusnya tidak mensia-siakan peluang keemasan itu dan lebih manis menutup saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini sebagai juara Piala Malaysia.

“Kalau ada pasukan yang tidak mahu Piala Malaysia, lebih baik kami yang ambil. Pada pandangan saya, apa pun jenis kejohanan, piala tetap piala.

“Kalau Piala Malaysia tidak bernilai, sudah pasti Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak akan mempertand­ingkannya. Tidak mudah untuk mara sehingga ke perlawanan akhir.

“Jadi, jika melihat perjalanan yang sudah diharungi sejak peringkat kumpulan, sudah pasti kami mahu pastikan Piala Malaysia menjadi milik kami,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Stadium Darul Aman, hari ini.

Final Piala Malaysia edisi 2017 yang akan berlangsun­g di Stadium Shah Alam, Sabtu ini akan menjadi final kelima buat pemain berusia 29 tahun dan dia menyimpan hasrat untuk mendedikas­ikan trofi itu kepada penyokong nombor satu skuad Helang Merah, Almarhum Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah yang mangkat pada 11 September lalu dan juga kepada semua penyokong setia pasukan terbabit.

Mengulas lanjut pertembung­an menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), Khairul yang lebih mesra disapa ‘Keon’ itu mengakui mereka perlu menampilka­n corak pertahanan yang lebih kemas andai mahu mengekang jentera serangan skuad Harimau Selatan itu daripada ‘bermahajar­alela’.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia