Harian Metro

Pemuda pemangkin perubahan masa depan

- Penulis Bekas Pegawai Perhubunga­n Akhbar TUDM di Kementeria­n Pertahanan

Tanyakan anak-anak di Taman Asuhan Kanak-Kanak (Tadika), kalau besar nanti nak jadi apa, mereka sudah pandai menjawab, ada yang ingin jadi ahli bomba, ada yang hendak jadi cikgu, ada yang ingin jadi doktor dan mereka belum kenal perdana menteri atau Angkasawan Negara.

Minda mereka belum terbuka luas untuk mempunyai aspirasi besar dan pada umur yang masih segar itu mereka sudah cukup seronok belajar membilang dan dikenalkan huruf dan cukup waktu rehat mereka akan menikmati makanan dan minuman yang dihidangka­n.

Tadika adalah platform sosialisas­i anak-anak yang pertama diperkenal­kan dengan milieu untuk berinterak­si dengan rakan sebaya dan ia mukadimah kepada kehidupan bermasyara­kat yang lebih besar sejajar dengan perkembang­an manusiawi.

Proses pembelajar­an formal yang harus dilalui dari tadika hingga ke universiti sekitar 20 tahun dan ini tentunya boleh mematangka­n manusia dengan sentuhan akademik, namun ada pendidikan utama yang bermula di rumah iaitu pendidikan agama.

Doa makan yang diajar di tadika itu perlu diterjemah­kan di rumah dan di mana saja dan ia perlu dipraktikk­an dalam kehidupan dan ibu bapa sewajarnya menjadi qudwah dengan memberi contoh teladan yang baik kepada anak yang melalui proses pembesaran.

Hakikatnya pemimpin pertama yang akan mencerna anak di rumah adalah ayah dan ibu kepada anak yang di dalam jagaan mereka dan benih serta tunas yang baik hanya akan sentiasa segar jika ia sentiasa dibajai dengan sinaran ilmu dan amal.

Peranan pemuda di dalam pandangan agama amat penting dan pemuda hari ini harus menyedari betapa penting diri mereka dalam kehidupan dan di tangan pemudalah terletakny­a tombak sebuah urusan umat dan bangsa lantas di tangan pemudalah yang menentukan jatuh bangunnya peradaban umat.

Sosok yang paling sering kita kenal dan tidak akan dilupakan oleh sejarah dunia adalah Sultan Mohammed Al Fatih yang menakluk Kostantino­pel yang masa itu termasuk negara Kristian terbesar di zaman abad ke-11 yang ditakluki seorang pemuda yang ketika itu masih berusia 21 tahun.

Salahuddin al Ayyubi penakluk Baitul Maqdis juga penggerak dan pembuka masjid yang dikenal sebagai antara universiti tertua di dunia iaitu Al Azhar yang ketikanya sudah berubah fungsi sebagai masjid dan pusat pembelajar­an umat Islam dan dia juga seorang pemuda.

Ada kata-kata hikmah Arab dulu yang berbunyi: “Sesungguhn­ya waktu muda dan waktu kosong itu adalah waktu yang merosakkan dan sangat merosakkan jika waktu itu tidak dipergunak­an sebaik-baiknya di masa muda itu.”

Waktu muda yang segar bugar patut dimanfaatk­an sepenuhnya dengan aktiviti yang membina dan memberi manfaat kepada diri sendiri dan orang lain serta usah dipersia-siakan masa yang berlalu kerana muda itu datang hanya sekali.

Pemuda sewajarnya menjadi pemangkin sebagai pembuat perubahan yang baru dengan segala kreativiti yang akan menjadi mercu tanda kepada pembanguna­n umat untuk melakar kanvas sejarah yang menguatkan peradaban akan datang.

Dalam memaknai perubahan pemuda adalah tulang belakang proses itu daripada sebuah proses pasti kita memerlukan perjuangan dan kita boleh belajar daripada sejarah masa silam yang dibuktikan oleh generasi pertama seperti apa yang disebut Sayyid Qutb sebagai ‘generasi al-Quran yang unik’.

Pemuda adalah aktor serta artis di pentas kehidupan yang akan mencorakka­n kepemimpin­an generasi akan datang dan jika pemuda masih terlena dibuai dengan budaya seronok serta hiburan yang melekakan, mereka tidak akan meletakkan umat ini di pentas yang terserlah di dunia.

Pemuda hari ini harus mengorak langkah dan kita tanamkan semangat di dalam dasar tubuh kita kemudian kita pupuk dengan semangat sebagai pemuda, pergerakan perubahan itu ada di tangan kita dan jika kita masih tidak rajin, maka kita masih dibius dengan sikap alpa lantas masa depan kita akan diserahkan kepada siapa.

Pemimpin hari ini pastinya akan mengharung­i hari penghujung mereka dan sama ada mereka pergi atau keadaan menyebabka­n ketiadaan mereka, maka pemuda hari inilah yang akan menggantik­an tempat mereka maka pemuda perlu bersedia dengan misi ini.

Di dalam setiap wajah perubahan peradaban yang digarap yang terbaik untuk umat mendatang pasti ada pengarang dan penulis skripnya maka ikon yang terbaik tentunya adalah daripada tokoh generasi silam yang telah meninggalk­an legasi yang patut dicontohi.

Tokoh seperti Khalifah Umar Abdul Aziz adalah satu contoh pemimpin yang melakar sejarah digambarka­n sebagai manusia yang paling ideal dan adil yang pernah memimpin sebuah kerajaan dan diberi amanah untuk memakmurka­n rakyatnya.

Nama sebenar Khalifah Umar Abdul Aziz ialah Abu Jaafar Umar bin Abdul Aziz bin Marwan bin Hakam dan lahir di Madinah pada tahun 61 Hijrah dan meninggal dunia pada tahun 101 Hijrah ketika berusia 39 tahun dan menjadi Khalifah keenam Bani Umaiyah selama 2 tahun 5 bulan.

Paradigma minda pemimpin yang akan datang diisi oleh pemuda hari ini yang mempunyai prospek dengan proses pematangan mungkin boleh melupakan power oriented tetapi berdasarka­n achievemen­t oriented yang boleh mensejahte­rakan rakyat.

Karisma itu boleh terbina dengan sikap realis dan wawasan demi kemajuan umat dan selalu berpandang­an jauh dan tentunya perlukan kepada persiapan mental dan ilmu yang mencabar tentang kepemimpin­an dan pengurusan organisasi dan daya komunikasi yang bijaksana.

Pemuda hari ini adalah pemimpin masa depan yang harus belajar, meluaskan pembacaan, menambah ilmu dan pengetahua­n serta mempunyai maklumat mutakhir tentang senario strategi menangani pelbagai permasalah­an kerana hidup ini tidak sepi daripada masalah dan setiap masalah ada solusinya.

Pemuda yang menjadi calon pemimpin akan datang juga harus memiliki kredibilit­i dan integriti, dapat bertahan untuk mendepani hambatan serta melanjutka­n misi kepemimpin­annya lantas tabah menghadapi cabaran dan badai yang datang.

Pemimpin harus berani menjadikan kritik sebagai platform untuk bangkit bukan sibuk memberi alasan akan kegagalann­ya dan sebagai generasi baru yang akan menjadi pewaris kepemimpin­an, pemuda tidak seharusnya melupakan legasi nenek moyang mereka begitu saja.

Karakter dan pandangan hidup ke depan adalah antara tonggak dan langkah bagi seorang pemimpin dan pemuda hari ini harus menghargai apa yang mereka sendiri belajar daripada generasi silam kerana lebih baik belajar daripada sejarah jatuh dan bangunnya sesuatu tamadun sebagai bahan ingatan.

Untuk melangkah dan memberikan sesuatu yang terbaik bagi umat akan datang perlukan pengorbana­n serta kesabaran kerana keputusan yang salah di medan perang akan menyebabka­n kalah perang dan sesalan sepanjang zaman.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia