Harian Metro

Mayat terdampar 1.2km dari lokasi

-

Kuala Lumpur: Mayat dua pelajar tingkatan satu yang dihanyutka­n arus berdekatan sebuah sekolah menengah di Taman Yarl, Kuala Lumpur, Isnin lalu, ditemui terdampar di lombong Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah, di sini, semalam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Khirudin Drahman@Hussaini berkata, mangsa, Muhammad Syafiq Akmal Amran dan Mohd Rafiuddin Fakhrullah ditemui kira-kira 1.2 kilometer dari lokasi kejadian.

“Mayat Muhammad Syafiq ditemui pada jam 7.40 pagi dan mayat Mohd Rafiuddin pula pada jam 8.03 pagi.

“Dua mayat terbabit ditemui dalam keadaan telungkup di permukaan air dengan jarak lebih kurang 50 meter antara satu sama lain.

“Mangsa dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) untuk dibedah siasat dan pengecaman dilakukan oleh keluarga masing-masing sebelum proses pengebumia­n,” katanya menerusi satu kenyataan, semalam.

Khirudin berkata, menerusi misi mencari dan menyelamat terbabit seramai 117 anggota termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dikerahkan bagi mencari mangsa.

Katanya, usaha pencarian dilakukan dengan menggunaka­n khidmat unit pengesan (K9), penyelam, bot, kayak dan dron.

“Susulan penemuan dua mayat itu operasi ditamatkan pada jam 11 pagi dan kita berterima kasih kepada semua pihak yang bekerjasam­a bagi mencari mangsa,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia