Harian Metro

Tolak motosikal 7.5km

- Rosliza Mohamed am@hmetro.com.my

 38 penunggang, pembonceng tak pakai topi keledar berpeluh

Berikutan tidak memakai topi keledar dan ada yang tidak berlesen, 38 penunggang serta pembonceng motosikal diarah berjalan sambil menolak motosikal masing-masing sejauh 7.5 kilometer dari Pasir Hor, di sini ke Balai Polis Kota Bharu.

Tindakan julung kali diambil itu sebagai sebahagian daripada bentuk hukuman yang mendidik mereka, rata-ratanya remaja berusia 12 hingga 18 tahun supaya mematuhi peraturan jalan raya.

Mereka semua ditahan ketika operasi Ops Gempur Bersepadu dijalankan Polis Kelantan bermula jam 6 petang kelmarin hingga 10 malam.

Timbalan Ketua Polis Kelantan Senior Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, semua remaja terbabit diarah berbuat demikian apabila ditangkap kerana tidak memakai topi keledar, malah ada yang tidak mempunyai lesen memandu.

“Untuk jarak sejauh itu, mereka menolak motosikal selama sejam setengah, ma- lam tadi (kelmarin). Kita juga mengeluark­an saman kepada 43 pemilik motosikal berkenaan terutama ibu bapa kerana membenarka­n anak mereka menunggang secara haram.

“Ini termasuk anak yang masih di bawah umur. Perkara ini tidak boleh dipandang ringan kerana boleh mengundang kecelakaan di jalan raya,” katanya ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu, semalam.

Din berkata, pihaknya tidak teragak-agak menggunaka­n kaedah sama dalam operasi berikutnya supaya kesalahan menunggang tanpa lesen dan tidak memakai topi keledar tidak dianggap remeh.

Beliau berkata, turut ditahan dalam operasi itu seorang lelaki berusia 28 tahun yang menunggang motosikal Honda C70 yang disyaki motosikal curi.

“Dalam operasi itu, sebanyak 95 peratus penunggang dan pembonceng tidak memakai topi keledar. Jenis motosikal ditunggang pula ialah Honda dan Yamaha.

“Kesalahan lain, tidak mempunyai lesen memandu, cukai jalan tamat tem- poh dan motosikal diubah suai,” katanya.

Din juga berkata, operasi akan dilakukan dari semasa ke semasa khususnya membantera­s lumba haram.

“Individu yang ditahan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 379 A Kanun Keseksaan,” katanya.

 ??  ?? SEBAHAGIAN yang ditahan polis.
SEBAHAGIAN yang ditahan polis.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia