Harian Metro

Bolosi lokasi paling kritikal

- Yusmizal Dolah Aling yusmizal@hmetro.com.my

 MAPIM pecah halangan hantar bantuan makanan di kampung Maungdaw, Buthidaung

Ketika semua bantuan kemanusiaa­n terarah kepada kem penempatan pelarian Rohingya di Bangladesh, Majlis Perundinga­n Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) berjaya memecahkan kebuntuan menghantar bantuan di perkampung­an Maungdaw dan Buthidaung, Arakan.

Menerusi gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sana, peruntukan wang kecemasan bagi pembelian makanan untuk 105 keluarga adalah bantuan terawal disalurkan sejak operasi ketenteraa­n, Ogos lalu.

Naib Presiden MAPIM Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, ia usaha segera pihaknya membantu pelarian yang terjejas ketika dikepung tentera dan ektremis Myanmar menyebabka­n nasib mereka tidak menentu.

Katanya, sumbangan itu daripada masyarakat tempatan dan penderma dari Malaysia serta diserahkan kepada penduduk dalam satu majlis ringkas, kelmarin.

“Ia penghantar­an terawal dihantar ke Arakan kerana kawasan terbabit dikawal ketat selepas krisis menyebabka­n 600,000 penduduk melarikan diri ke Bangladesh.

“Mereka terharu dengan sumbangan ini dan terus membeli makanan untuk diagihkan. Keadaan memang terdesak,” katanya.

Menurutnya, walaupun sukarelawa­n MAPIM tidak dapat memasuki wilayah itu, usaha perhubunga­n tempatan yang dibuat membolehka­n bantuan sampai ke tempat paling kritikal.

Berdasarka­n rekod MAPIM, di Maungdaw ada 70 keluarga di sektor 5 dan 20 keluarga di Sheil Khali, manakala 15 keluarga di Kampung Buthidaung yang menerima sumbangan RM10,000.

Katanya, MAPIM mengumpulk­an dana untuk membantu pelarian di Arakan dan jika keadaan mengizinka­n, satu misi kemanusiaa­n akan digerakkan ke sana.

“Orang ramai boleh menyumbang di nombor akaun 55520 9522 4432 (Maybank) atau 020 2001 0072 272 (Bank Islam) atau 154 0018 8063 0425 (Al Rajhi Bank),” katanya.

 ??  ?? ANTARA keluarga yang menerima bantuan MAPIM.
ANTARA keluarga yang menerima bantuan MAPIM.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia