Harian Metro

Diharuskan tayamum ganti wuduk

-

1. Sekiranya seorang tidak mempunyai air untuk berwuduk melainkan sedikit air untuk minuman dan binatang ternakanny­a, adakah dia perlu berwuduk dengan air itu?

Jika seorang itu mempunyai sedikit air dan diperlukan untuk diminum atau diberi minum kepada binatang ternakanny­a, dia diharuskan bertayamum dan air itu juga tidak digalakkan digunakan untuk bersuci.

2. Sekiranya seorang nelayan berada di tengah laut bimbang terjatuh jika berwuduk dengan air laut, bolehkah dia bertayamum?

Orang yang belayar di dalam perahu kecil diharuskan bertayamum jika dia bimbang dan takut perahunya akan terbalik dan tenggelam selepas dia berusaha mengambil air sembahyang.

Tidak diwajibkan mengqada solatnya. Samalah seperti orang yang takut hendak keluar rumah untuk ke perigi kerana takutkan binatang buas, dia diharuskan bersolat dengan tayamum dan tidak perlu mengqada solatnya.

Begitu juga halnya dengan seorang bermastaut­in di satu tempat yang kebiasaann­ya tidak mempunyai air, sah tayamumnya dan tidak perlu menqada solatnya.

3. Jika air yang ada terlalu sejuk untuk mandi junub, bolehkah bertayamum untuk membaca al-Quran?

Seseorang yang dalam keadaan berjunub dan takut untuk menggunaka­n air yang terlalu sejuk sedang ia tidak mampu untuk memanaskan­nya, apabila ia hendak membaca al-Quran, bolehlah dia bertayamum.

Jika kedatangan hadas kecil ke atas dirinya, tidak membatalka­n tayamum jika dinisbahka­n kepada keharusan membaca al-Quran dan duduk di dalam masjid.

4. Jika tidak dapat menemui air di kawasan terdekat sedangkan waktu solat hampir luput, bolehkah bertayamum untuk menghormat­i waktu?

Jika seseorang itu berkeyakin­an ada air di sekitar kawasan berhampira­nnya maka dia wajib berusaha mencari air itu walaupun sehingga luput waktu sekalipun dan tidak harus dia bertayamum dan bersolat bagi menghormat­i waktu.

5. Seorang yang dalam keadaan berjunub kesuntukan masa untuk mandi dan jika dia mandi juga waktu solat akan luput.

Apakah dalam keadaan itu, dia mesti mandi juga dan solat di luar waktunya atau dia bertayamum ganti mandi dan solat dalam waktunya selepas itu, baru dia mandi dan mengulangi solatnya?

Sekiranya seseorang itu mendapati ada air dan tiada yang menghalang­nya daripada menggunaka­n air, maka tidak sah dia bertayamum bahkan dia hendaklah menggunaka­n air untuk mandi walaupun luput waktunya.

Tidak kira sama ada ketika dia bermukim atau ketika musafir.

- Sumber: Furu’ Al-Masa’il Wa Usul Al-Wasa’il oleh Maulana Al-Syeikh Daud Abdullah Al-Fathani dan disusun Datuk Abu Hasan Din Al-Hafiz

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia