Harian Metro

MATI PERTAHAN MARUAH

 Wanita maut dibakar hidup-hidup selepas lawan perogol

-

Seorang wanita mati dalam keadaan menyayat hati apabila dibakar hidup-hidup kerana melawan ketika cuba dirogol oleh bekas abang iparnya.

Polis berkata, dalam kejadian pada malam kelmarin, mangsa yang dikenali sebagai Neelam, 27, yang juga seorang balu dilaporkan bersendiri­an di rumahnya.

Secara tiba-tiba, bekas abang iparnya datang ke rumah Neelam di sebuah kampung di Labhari di negeri Uttar Pradesh dan cuba merogolnya tetapi mangsa melawan.

Berang dengan tindakan wanita itu, lelaki berkenaan membakar mangsa hidup-hidup sebelum dia melarikan diri.

Neelam dipercayai mati di tempat kejadian sebelum mayatnya ditemui keluargany­a dalam keadaan rentung.

Menyedari wanita itu mati akibat dibunuh, bapa mangsa membuat laporan polis yang kemudian menyiasat kejadian berkenaan.

Polis memberitah­u, siasatan dan keterangan saksi mendapati pembunuhan itu dilakukan oleh bekas abang ipar mangsa.

Polis kini memburu suspek yang dikenali sebagai Jitendra dan kes itu disiasat mengikut kanun keseksaan kerana membunuh.

Keganasan terhadap wanita adalah isu serius di India selepas ramai golongan itu menjadi mangsa cabul dan rogol beramai-ramai.

Aktivis wanita juga mendesak pihak berkuasa mengambil langkah drastik melindungi wanita selepas peningkata­n kes rogol beramai-ramai sejak beberapa tahun lalu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia