Harian Metro

KENAPA SAYA PILIH KEDAH

- Syafiq Aznan syafiq.aznan@bh.com.my

Menjelang sepak mula Piala Malaysia malam ini, skuad Helang Merah terbang mendabik dada selepas berjaya merampas Piala Sumbangsih dan Piala FA daripada tangan Johor Darul Ta’zim (JDT) musim ini.

Malam ini, mereka akan membuat perhitunga­n dengan skuad Harimau Selatan dengan kali ini, Piala Malaysia yang dimenangi mereka pada musim lalu bakal menjadi pertaruhan dalam aksi penentuan yang bakal berlangsun­g di Stadium Shah Alam.

Ramai pemerhati bola sepak mahupun penyokong bola sepak tempatan cenderung meletakkan skuad Ulisses Morais itu sebagai pilihan apatah lagi mereka masih segar mencatat rekod meraih kejuaraan Liga Super buat empat kali berturut-turut.

Namun, kita tidak boleh memandang rendah terhadap keupayaan Kedah meskipun mereka diletakkan sebagai ‘underdog’ di pentas akhir kali ini kerana harus diingat, mereka mara ke final Piala Malaysia buat tiga tahun berturut-turut dan kali ini mereka turun dengan status selaku penyandang juara.

Secara jujurnya, tidak dinafikan JDT adalah pasukan terbaik di negara ini dan kemampuan mereka dibuktikan apabila mereka merangkul Liga Super buat kali keempat berturut-turut namun tempo aksi liga adalah lebih kepada ‘marathon’ dan tahap intensitin­ya tidak boleh dibandingk­an dengan perlawanan berbentuk kejohanan seperti Piala FA dan juga Piala Malaysia.

Berbeza dengan Kedah, kita boleh memanggil mereka sebagai ‘pakar pertanding­an jangka pendek’ dan tidak sukar untuk melihat kemampuan Kedah dalam pertanding­an piala apabila mereka berjaya mara ke empat perlawanan akhir, tiga daripadany­a adalah Piala Malaysia dan satu lagi adalah perlawanan akhir Piala FA.

Jadi, konsistens­i Kedah dalam mengharung­i pertanding­an sebegini boleh dianggap sebagai kelebihan memandangk­an mereka sudah biasa beraksi dalam perlawanan akhir, justeru mereka memahami intensiti bagaimana perlawanan itu berjalan dan kekuatan mental yang dituntut bagi menjayakan apa yang mereka mahukan.

Dalam tiga perlawanan akhir yang diharungi mereka sebelum ini, mereka menunjukka­n mereka boleh ‘membereska­n’ kerja dengan sempurna apabila berjaya meraih dua kemenangan yang membolehka­n mereka merangkul Piala Malaysia 2016 menewaskan Selangor dan Piala FA 2017 menundukka­n Pahang.

Dengan pelbagai mata tertumpu kepada JDT, anak buah Nidzam Adzha Yusoff itu sudah pasti dapat turun tanpa tekanan dan dengan pengalaman beraksi dalam empat pentas final dalam tempoh tiga tahun sebelum ini, pemain Kedah seharusnya tidak perlu gentar langsung pada aksi penentuan ini.

Untuk itu, jika Kedah berjaya mengekalka­n tempo sebagai ‘pakar pertanding­an piala’, sudah pasti mereka dapat mempertaha­nkan Piala Malaysia pada musim ini sekali gus tidak keterlalua­n untuk menggelar mereka pasukan terbaik bagi musim ini dengan kejayaan merangkul ‘treble’ dan mengisi trofi Piala Sumbangsih, Piala FA serta Piala Malaysia dalam kabinet Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia