Harian Metro

KENAPA SAYA PILIH JOHOR DT

- Aziman Rosdi aziman@hmetro.com.my

Selepas tiga tahun menanti, Johor Darul Ta’zim (Johor DT) kembali ke pentas final Piala Malaysia 2017.

Mereka dikecewaka­n oleh Pahang menerusi penentuan sepakan penalti 3-5 selepas aksi 120 minit di Stadium Nasional Bukit Jalil terikat 2-2.

Ia pasti detik yang ingin dilupakan buat pasukan yang memiliki barisan pemain bintang ini.

Sudah pasti semangat anak buah Ulisses Morais kali ini lebih membara kerana dahagakan gelaran pertama Piala Malaysia sekali gus menjadi penamat lebih manis selepas merangkul Liga Super buat kali keempat berturut-turut.

Biarpun lawan mereka juara bertahan Kedah yang bakal tampil di final buat kali ketiga berturut-turut, skuad Harimau Selatan ini dibarisi pemain berpengala­man luas beraksi di pentas besar.

Kapten Safiq Rahim sudah biasa dalam suasana getir ini untuk memimpin pasukan biarpun Piala Malaysia satu-satunya trofi masih belum dijulang.

Gandingann­ya bersama bekas pemain Levante yang baru dinobatkan Pemain Terbaik Bulanan Liga Super PFAM Natxo Insa kini berada di prestasi terbaik untuk menjadi perancang dibahagian tengah.

Harus diingat, kekuatan Johor DT bukan hanya terletak kepada ketajaman Mohamad Ghadar yang sudah meledak enam gol sepanjang kejohanan ini tapi kelincahan pemain sayap Gonzalo Cabrera dan Gabriel Guerra juga boleh memberi ancaman besar

kepada Kedah.

Jangan lupa, Ahmad Hazwan Bakri yang menjadi wira Selangor menewaskan Kedah pada final 2015 juga bersedia pada bila-bila masa untuk diturunkan Morais.

Mungkin ada yang menganggap tanpa tonggak pertahanan tengah Marcos Antonio, benteng mereka akan goyah, tapi lihat apa yang dilakukan oleh Fadhli Shas, Junior Eldstal dan Aidil Zafuan Abd Radzak dalam 12 perlawanan terakhir, tetap ampuh.

Dengan barisan pemain serba lengkap, keghairaha­n dan semangat untuk mendakap kejuaraan serta taktikal Morais, Johor DT tidak akan kempunan kali ini.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia