Harian Metro

Penentu jurulatih terbaik musim ini

- Syafiq Aznan syafiq.aznan@bh.com.my

Shah Alam: Aksi final Piala Malaysia malam ini bukan sekadar menjadi perlawanan penutup musim ini malah turut menjadi penentuan siapa jurulatih yang layak dinobat sebagai jurulatih terbaik musim ini.

Dengan pengendali Kedah, Nidzam Adzha Yusoff dan jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Ulisses Morais masing masing sudah merangkul satu trofi, pasti kemenangan meraih Piala Malaysia bakal menyaksika­n salah seorang daripada mereka muncul juara berganda pada musim ini.

Nidzam Adzha boleh mempertaha­nkan Piala Malaysia yang dimenangi skuad Helang Merah itu musim lalu sementara Morais memiliki peluang keemasan untuk mencipta sejarah sebagai pengendali pertama skuad Harimau Selatan yang berjaya melengkapk­an trofi domestik dengan Piala Malaysia satu-satunya trofi yang belum menghiasi kabinet juara Liga Super empat kali itu.

Namun, Nidzam Adzha enggan terlalu memikirkan mengenai situasi itu sebaliknya hanya mahu fokus terhadap tanggungja­wabnya sebagai pengendali pasukan dengan mereka turun dengan misi memastikan Piala Malaysia kekal di bumi Darul Aman.

“Pada saya, itu bukanlah perkara yang begitu penting untuk difikirkan. Saya hanya mahu menjalanka­n tanggungja­wab sebagai jurulatih manakala selebihnya terpulang kepada pemain kerana mereka yang akan beraksi di atas padang.

“Apapun, saya yakin saya sudah menyiapkan pasukan yang terbaik untuk diturunkan pada aksi final malam esok (malam ini). Mungkin Stadium Shah Alam sekali lagi akan membawa tuah kepada pasukan ini.

“Kami turut mengharapk­an aksi dapat ditentukan dalam tempoh 90 minit namun apa pun yang terjadi sama ada beraksi masa tambahan mahupun sepakan penalti penentuan, kami sudah bersedia sepenuhnya,” katanya ketika ditemui pada sidang media pra-perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, semalam.

Dalam masa sama, bekas pemain Kedah itu turut merasai bahang dalam mengendali­kan pasukan itu menjelang sepak mula aksi Piala Malaysia dengan dia mengakui tugas selaku jurulatih lebih berat berbanding sebagai pemain.

“Memang situasi yang berbeza jika hendak dibandingk­an dengan beraksi di pentas akhir sebagai pemain kerana selaku pemain, tiada apa yang perlu dirisaukan selain kita hanya perlu menunjukka­n aksi yang terbaik saja di atas padang.

“Sementara menjadi jurulatih ini begitu berlainan. Kita perlu menyiapkan segala-galanya daripada mula latihan sehinggala­h tamat perlawanan akhir itu nanti. Jadi ia adalah satu tanggungja­wab yang begitu besar namun saya berjanji untuk memberikan yang terbaik demi penyokong yang sentiasa memberi sokongan,” katanya.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia