Harian Metro

DATUK SERI NAFI SERANG

Ahli perniagaan hadapi empat tuduhan cederakan tiga anggota RELA

- Sarah Zulkifli sarah@hmetro.com.my

Ahli perniagaan bergelar Datuk Seri didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas empat tuduhan termasuk menyerang dan mencederak­an tiga anggota Jabatan Sukarelawa­n Malaysia (RELA) ketika mereka bertugas di tokong di Kampung Baru, di sini, minggu lalu.

Tertuduh, Liow Soon Hee, 29, mengaku tidak bersalah sebaik semua pertuduhan terhadapny­a dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Azrul Darus.

Tertuduh memakai baju kemeja putih kelihatan tenang di kandang tertuduh sepanjang prosiding itu.

Bagi pertuduhan pertama, Liow didakwa menyebabka­n cedera parah terhadap Lee Weng Poh, 27, di pekarangan Tokong Kou Ong Yah, Jalan Merdeka, Kampung Baru Ampang, jam 6.30 pagi, pada 27 Oktober lalu.

Dakwaan kes dilakukan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Lelaki itu turut dituduh menyerang penjawat awam, Melvin Cheong Mun Khai, 19, yang menjalanka­n tugas sebagai anggota RELA di tempat, masa dan tarikh sama serta didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Manakala bagi pertuduhan ketiga dan keempat, dia dituduh dengan sengaja menyebabka­n kecederaan terhadap Leong Jun Jie, 21 dan Melvin, di tempat, masa dan tarikh sama serta didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nadiah Malek Fauzie, menawarkan jaminan RM25,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan berserta syarat tambahan dilarang mengganggu saksi.

Datuk Geethan Ram Vincent yang mewakili tertuduh dalam rayuannya memohon anak guamnya dikenakan jaminan munasabah.

Mahkamah membenarka­n tertuduh diikat jamin RM17,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan dilarang mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan dan menetapkan 14 Disember ini untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini, media melaporkan tiga anggota RELA masing-masing bengkak mata kiri, selain sakit beberapa bahagian badan selepas dipukul dan ditendang.

Kejadian berpunca daripada tindakan mangsa meminta kenderaan Toyota Vellfire milik suspek yang diletakkan di tepi jalan besar dialihkan kerana menghalang lalu lintas.

 ??  ?? LIOW didakwa di Mahkamah Sesyen atas tuduhan menyerang dan mencederak­an tiga anggota RELA.
LIOW didakwa di Mahkamah Sesyen atas tuduhan menyerang dan mencederak­an tiga anggota RELA.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia