Harian Metro

Khianat bakar 16 motosikal

- Nurul Hidayah Bahaudin nurul.hidayah@hmetro.com.my

 Dua kereta, 1 pacuan empat roda di parkir bawah pangsapuri turut rentung

“Ini perbuatan khianat. Kebakaran bermula daripada sebuah motosikal sebelum merebak ke deretan kenderaan lain,” kata saksi kejadian, Mohd Razi Mustafa berhubung kebakaran 16 motosikal diletakkan di bawah Pangsapuri Cheras Utama, Jalan Cheras Utama, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi semalam, dua kereta dan sebuah pacuan empat roda diletakkan di kawasan parkir turut terbakar.

Saksi kejadian yang juga penyelia tapak berusia 39 tahun itu mendakwa melihat kebakaran sebaik pulang dari kerja.

Katanya, dia bersama pengawal keselamata­n pangsapuri itu serta seorang penghuni cuba membantu memadamkan kebakaran itu namun api terlalu marak.

“Pada mulanya hanya dua motosikal yang terbakar sebelum api merebak ke kawasan lain dan membakar kenderaan berhampira­n. Melihat keadaan api semakin marak, saya terus menghubung­i pihak bomba untuk mengawal kebakaran.

“Orang ramai yang menyedari kejadian itu turut membantu memadamkan kebakaran. Saya bernasib baik kerana sempat mengalihka­n motosikal yang diletakkan di kawasan berhampira­n,” katanya.

Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kajang Mohd Jaslizad Jalil berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.33 pagi sebelum enam anggota bersama satu jentera dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Api berjaya dikawal sepenuhnya kira-kira lima minit kemudian dengan bantuan orang awam.

“Siasatan awal tidak menolak kemungkina­n kebakaran berlaku akibat perbuatan khianat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata, pihaknya menerima lima laporan polis berhubung kejadian itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat menggunaka­n api,” katanya.

 ??  ?? ANTARA motosikal dan kereta yang terbakar di Pangsapuri Cheras Utama, semalam.
ANTARA motosikal dan kereta yang terbakar di Pangsapuri Cheras Utama, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia