Harian Metro

3 BERADIK TERPISAH 64 TAHUN

Tiga beradik terpisah sejak 64 tahun lalu bertemu kembali

- Mohd Khidir Zakaria am@hmetro.com.my

Saya mendapat berita daripada dua anak memaklumka­n ibu saudara mereka masih hidup. Saya segera menyuruh mereka membawa ibu saudaranya ke Malaysia memandangk­an keadaan saya semakin uzur”

Hanapi Bawon

Misi jejak kasih ke Kampung Karang Sari, Kabumen, Jawa Tengah, Indonesia berakhir dengan titisan air mata apabila tiga beradik kembali disatukan semula selepas berpisah sejak 64 tahun lalu.

Tursiyah@Sutinah Bawon, 69, yang terpisah dengan abangnya, Hanapi Bawon, 76, dan kakaknya, Naripah Bawon, 70, disatukan semula di kediaman Hanapi di Kampung Jawa, Bukit Pelandok, dalam dalam suasana penuh pilu, di sini, semalam.

Hanapi berkata, mereka berpisah dengan Tursiyah ketika dia berusia 12 tahun manakala Naripah enam tahun kerana mengikut bapanya ke Malaysia pada 1953.

“Ketika itu adik (Tursiyah) berusia lima tahun dan dia tinggal bersama ibu di Jawa Tengah. Selepas itu kami langsung tidak bertemu.

“Selepas ayah meninggal dunia pada 1994, kami berdua menetap di sini (Malaysia). Ketika itulah, saya mula merindui adik perempuan yang ditinggalk­an di kampung halaman,” katanya yang mendapat status warganegar­a.

Dia berusaha mencari, namun gagal sebelum meminta bantuan dua anak, Zani Zulkifli, 48, dan Siti Baizura, 33, menjejaki adiknya itu di Indonesia.

“Saya mendapat berita daripada dua anak memaklumka­n ibu saudara mereka masih hidup. Saya segera menyuruh mereka membawa ibu saudaranya ke Malaysia memandangk­an keadaan saya semakin uzur,” katanya.

Sementara itu, Tursiyah berkata, dia terharu kerana berjumpa kembali abang dan kakaknya yang menetap serta menjadi rakyat di negara ini.

“Sebenarnya, anak sulung saya (Selamat Nuryadi, 42) yang bekerja di Banting, Selangor berusaha mencari abang saya namun gagal. Pertemuan ini besar ertinya bagi kami sekeluarga dan diharapkan hubungan ini tidak terputus,” katanya sambil menitiskan air mata.

Sementara itu, Naripah berkata, dia sangat merindui adiknya yang ditinggalk­an sejak 64 tahun lalu.

“Saya tidak pasti kenapa dia tidak dibawa bersama ketika ke Malaysia bersama abang dan ayah. Bagi saya, perkara lalu usah diungkit, tetapi yang penting kami dapat kembali bersatu.

“Sebaik melihatnya di Lapangan Terbang Antarabang­sa Kuala Lumpur (KLIA) malam tadi (semalam), air mata saya terus mengalir dan kami berpelukan untuk melepaskan kerinduan,” katanya.

 ??  ??
 ??  ??
 ?? FOTO: MOHD KHIDIR ZAKARIA ?? PERTEMUAN penuh emosi tiga beradik Naripah (kiri), Hanapi (dua dari kanan) dan Tursiyah (kanan) di rumah Hanapi di Kampung Jawa, Bukit Pelandok, Port Dickson.
FOTO: MOHD KHIDIR ZAKARIA PERTEMUAN penuh emosi tiga beradik Naripah (kiri), Hanapi (dua dari kanan) dan Tursiyah (kanan) di rumah Hanapi di Kampung Jawa, Bukit Pelandok, Port Dickson.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia